Advertisement
Zamsaham Bocorkan Rahsia Taktikal Kelantan
Liga Super
MakanBola
TRW Kelantan FC

Kelantan FC akan memulakan kempen Liga Super 2023 petang ini menentang Kuching City FC. Perlawanan yang dijadualkan berlangsung 5.30 petang ini akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Namun begitu, beberapa jam sebelum sepak mula ada pendedahan eksklusif yang dibuat pemilik Kelantan, Norizam Tukiman atau lebih dikenali dengan gelaran Zamsaham. Pendedahan tersebut adalah mengenai taktikal atau formasi yang akan digunakan Kelantan dalam perlawanan petang ini.

Kelantan yang kini dilatih oleh jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik dikatakan akan menerapkan formasi 3-5-1-1 dalam perlawanan menentang Kuching City. Pendedahan itu dikongsikan Zamsaham di laman Facebook rasmi beliau sebentar tadi.

Hasil tinjauan di ruangan komen, segelintir penyokong meluahkan kerisauan mengenai pendedahan tersebut yang dikatakan akan memberi kelebihan buat pasukan lawan dalam mengatur strategi mereka berdepan Kelantan.

Namun ada juga yang menganggap ianya sebagai helah sebelum perlawanan kerana sudah tentu pelbagai taktikal akan direncanakan oleh jurulatih pasukan dalam mendapatkan kemenangan pada perlawanan petang ini.

Kelantan dijangka akan mempertaruhkan penyerang tinggi lampai, Nuha Marong disamping akan dibantu Miguel Cifuentes dan pemain lincah, Fazrul Amir bagi mendapatkan gol. Manakala Kuching City pula akan mempertaruhkan ketajaman penyerang dari Liberia, Abu Kamara bagi merobek gawang Kelantan.