Pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham memberikan khabar baik buat peminat setia kelab.
The Red Warriors melalui tempoh yang cukup sukar sejak kebelakangan ini apabila berada pada kedudukan tercorot Liga Super 2023.
Pelbagai masalah turut melanda kem pasukan Pantai Timur itu yang menyaksikan hampir semua pemain utama pasukan angkat kaki.
Namun begitu, Zamsaham kelihatan optimis untuk kembali menghidupkan peluang Kelantan musim hadapan apabila memberikan khabar gembira buat pasukan.
Menerusi satu kenyatan kepada Arena Metro, beliau memaklumkan bahawa ketua jurulatih, Alfredo Vera menyatakan hasrat untuk kekal membimbing pasukan.
“Dia (Angel Alfredo Vera) ada menyatakan hasrat untuk bersama Kelantan FC bagi musim seterusnya.”
“Dari segi pemain, dia pasti akan melakukan pemilihan mendapatkan pemain terbaik bagi pasukan Kelantan FC,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Pengendali kelahiran Argentina itu menyertai Kelantan FC pada pertengahan tahun lalu sebagai jurulatih baharu menggantikan pengendali dari Korea Selatan, Choi Moon-sik dan Frank Bernhardt dari Jerman.
Kelantan juga memiliki reputasi yang amat teruk apabila bolos 121 gol dan lebih buruk berbanding kelab Liga England, Swindon Town.