Bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak percaya faktor tekanan menyukarkan Terengganu FC mengakhiri kemarau kemenangan mereka.
Selepas menewaskan KL City FC pada 10 Ogos lalu, pasukan yang diberi jolokan Sang Penyu itu kini bergelut meraih kemenangan dalam enam perlawanan semua kejohanan.
Terbaru, pasukan yang dibimbing pemangku jurulatih, Badrul Afzan Razali itu kempunan meraih kemenangan dalam liga. Ini selepas Terengganu tewas 1-0 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 19 Oktober lalu.
Bek tengah Brazil, Jose Cleylton menceriakan penyokong Sang Kenari di Stadium Darul Aman dengan menanduk gol kemenangan pada babak pertama.
Zaquan percaya tekanan yang dihadapi Terengganu untuk mengakhiri kemarau kemenangan mempengaruhi prestasi mereka di atas padang.
“Saya rasa mungkin Terengganu sekarang ini beraksi di bawah tekanan. Sebab kita tahu dari awal musim, kita telah bincang Terengganu merupakan satu pasukan prolifik yang kita tahu. Kita tahu ada Safawi (Rasid) di situ.
“Tetapi keputusan sekarang ini tidak menyebelahi mereka. Mungkin saya rasa faktor (tekanan) mencari kemenangan itu membuatkan (prestasi) mereka susah nak bermain,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Keputusan ini menyebabkan Terengganu kekal di tangga ketiga liga dengan 17 mata. Meskipun berkongsi mata sama dengan Sabah FC, pasukan itu kekal di kedudukan berkenaan atas perbezaan jaringan.
Selepas ini, Sang Penyu bakal bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung untuk menghadapi Perak FC pada 26 Oktober ini.