Penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan menjelaskan insiden yang berlaku ketika tamat aksi antara Sri Pahang dan Selangor tempoh hari.
Dalam satu video yang tular pada kelmarin, Zarif dilihat seolah-olah meluru kearah penyokong pasukan Selangor. Tak terhenti setakat itu, berlaku juga pertelingkahan melibatkan pemain Sri Pahang dan Selangor di kawasan bangku simpanan.
Penjaga gol berusia 28 tahun itu bagaimanapun sempat ditenangkan rakan sepasukan.
Dalam satu perkongsian di IG Story, Zarif tampil menceritakan situasi sebenar. Beliau menjelaskan hasratnya adalah untuk bersalaman dengan barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan lawan. Namun niatnya itu telah disalah ertikan sesetengah pihak.
“Jangan salah faham. Saya nak pergi jumpa jurulatih selangor untuk salam bukan nak buat hal. Tapi disalah ceritakan oleh individu tertentu.”
“Yang gaduh orang lain, orang lain pulak disalahkan,” ujar Zarif.
Zarif dalam pada itu telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua pihak yang tersinggung dengan insiden itu. Beliau menegaskan agar tidak melibatkan ahli keluarganya berkenaan hal ini.
Beliau yang beraksi cemerlang pada aksi di sebelah petang tempoh hari berjaya menggagalkan misi Merah Kuning untuk meledak. Jaringan tunggal import Sri Pahang, Kevin Ingreso memastikan tiga mata berharga dan kemenangan kesepuluh diraih Sri Pahang dalam aksi Liga Super musim ini.
Sri Pahang kini menghuni tangga ketiga dalam liga selepas 16 perlawanan. 34 mata diraih anak buah Fandi Ahmad, menyamai mata pasukan Selangor yang dibezakan melalui kelebihan jaringan.
Skuad Tok Gajah bakal terbang ke bumi Sabah untuk aksi seterusnya pada Sabtu, 15 Julai 2023. Aksi LS17 itu dijadualkan berlangsung di Stadium Likas.