Pemain kebangsaan China, Zhang Yuning, menegaskan skuad Naga perlu mempamerkan semangat juang tinggi ketika melayan kunjungan Harimau Malaya dalam aksi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, malam esok.
Kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan pada Sabtu, 14 November, dengan sepak mula dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam waktu Malaysia.
Menjelang pertemuan itu, Zhang Yuning mengakui jadual pertandingan yang padat sepanjang tahun ini tidak menghalang pemain daripada memberikan persiapan terbaik selepas kembali menyertai kem latihan kebangsaan.
“Seperti yang dinyatakan ketua jurulatih sebentar tadi, jadual perlawanan tahun ini sangat padat. Semua pemain kembali menyertai pasukan kebangsaan selepas tamat musim dan masih menunjukkan tahap persiapan yang sangat baik.
“Kami berharap dapat meneruskan momentum ini. Kali ini semua pemain berpeluang kembali menyertai pasukan kebangsaan dan kami berharap dapat mempamerkan permainan yang mencerminkan identiti pasukan sendiri,” katanya pada sidang media praperlawanan di Zhaoqing.
Pemain yang kali terakhir menyertai kem latihan kebangsaan pada Jun lalu itu turut menegaskan China tidak akan memandang rendah kemampuan Malaysia, meskipun beraksi di laman sendiri.
“Tidak kira siapa lawan kami, apabila beraksi di laman sendiri, kami mesti menganggapnya seperti mempertahankan rumah dan kubu sendiri. Kami perlu memperlihatkan semangat juang sejak wisel permulaan,” katanya.
Mengulas kemungkinan Malaysia menurunkan barisan pemain terbaik termasuk pemain naturalisasi, Zhang Yuning menegaskan sasaran China untuk memburu kemenangan tetap tidak berubah.
“Tidak kira sama ada Malaysia menurunkan kesebelasan utama terkuat mereka ataupun membawa berapa ramai pemain naturalisasi, pendirian kami tidak akan berubah.
“Seperti ketika menentang Curacao pada Mac lalu dan perlawanan pada Jun, kami tetap akan berusaha untuk meraih kemenangan,” katanya.
Sementara itu, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe hadir dengan momentum positif selepas merekodkan empat perlawanan tanpa kalah, termasuk tiga kemenangan dan satu seri, selain mengekalkan rekod tanpa bolos dalam kesemua aksi tersebut.
Malaysia yang berada di kedudukan ke-133 dunia bakal berdepan cabaran China, pasukan ranking ke-96 dunia, yang tewas dalam tiga perlawanan antarabangsa terakhir menentang New Zealand, Palestin dan Tajikistan tanpa menjaringkan sebarang gol.
Dari segi rekod pertemuan, China memiliki kelebihan dengan lapan kemenangan, empat seri dan hanya satu kekalahan daripada 13 pertemuan terdahulu. Satu-satunya kemenangan Malaysia direkodkan pada Mac 1980 menerusi keputusan 3-1.
Bagaimanapun, dua daripada tiga pertemuan terakhir kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan seri, sekali gus memberikan Harimau Malaya peluang untuk mencabar skuad Naga dalam pertemuan kali ini.

