Harimau Malaya

Keturunan Cina, Dion Cools Tetap Bangga Pilih Malaysia

Copy of Thumbnail Artikel MB Wan 20260924 165504 0000 Keturunan Cina, Dion Cools Tetap Bangga Pilih Malaysia
MALAYSIA NT
Advertisements

Kapten Harimau Malaya, Dion Cools menegaskan bahawa Malaysia merupakan tanah airnya dan beliau tidak pernah mempunyai keraguan untuk memilih negara ini sebagai pasukan yang diwakilinya di peringkat antarabangsa.

Perkara itu dikongsikan pemain pertahanan berusia 30 tahun tersebut ketika sesi sidang media menjelang aksi persahabatan antarabangsa menentang China pada Sabtu, 14 November ini.

Dion yang dilahirkan di Kuching, Sarawak mempunyai darah kacukan Belgium-Malaysia apabila bapanya berasal dari Belgium, manakala ibunya, Xylina Chai berketurunan Cina dari Malaysia.

Menariknya, pemain pertahanan itu pernah dikaitkan dengan peluang untuk mewakili China apabila media negara tersebut mendakwa Dion hampir dinaturalisasikan pada tahun 2019 menerusi usaha membawa beliau menyertai kelab Jiangsu Suning.

Bagaimanapun, perkara tersebut tidak menjadi kenyataan apabila Dion akhirnya memilih untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada tahun 2021 selepas melengkapkan proses kelayakannya bersama Malaysia.

Mengulas mengenai pemilihannya untuk mewakili Harimau Malaya, Dion mengakui bahawa perkara tersebut sememangnya sesuatu yang perlu dibincangkan bersama keluarganya terlebih dahulu.

Bagaimanapun, beliau mempunyai jawapan tersendiri apabila ditanya mengenai keputusan memilih Malaysia sebagai negara yang diwakilinya di pentas antarabangsa.

“Malaysia merupakan tempat saya dilahirkan, jadi ia satu-satunya pilihan yang tepat untuk saya wakili di peringkat bola sepak kebangsaan dan itu sudah cukup jelas bagi saya,” katanya.

Menjelang pertemuan dengan China, Dion Cools juga menyatakan hasrat untuk memberikan persembahan terbaik bersama pasukan kebangsaan dan memastikan setiap aksinya mampu membanggakan negara.

“Secara peribadi, bersama pasukan kebangsaan, saya mahu mencapai kejayaan sebaik mungkin, bermain dalam perlawanan yang baik dan memastikan saya dapat membuatkan negara bangga,” jelasnya.

Pemain pertahanan itu turut menegaskan bahawa dia mahu terus membanggakan keluarganya, khususnya Malaysia menerusi segala perkara yang dilakukan di dalam dan luar padang.

“Saya gembira dengan kehidupan saya sekarang dan berharap dapat terus membuatkan keluarga, terutamanya negara saya, bangga dengan apa yang saya lakukan di dalam dan luar padang.”

Kini menggalas tanggungjawab sebagai kapten Harimau Malaya, Dion pastinya mahu meneruskan komitmennya dalam membantu skuad negara menghadapi cabaran China di Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong.