Malaysia memiliki 23 pengadil yang mendapat pengiktirafan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Ini berdasarkan senarai terbaru pengadil FIFA yang disiarkan badan induk itu baru-baru ini. Senarai ini merangkumi pengadil, penolong pengadil, pengadil futsal dan pengadil bola sepak pantai.
Nazmi Nasaruddin mengetuai senarai tujuh pengadil negara yang diiktiraf FIFA. Selain beliau, Razlan Joffri Ali, Kamil Zakaria, Usaid Jamal, Izzul Fikri Kamaruzzaman, Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah dan Nurul Ain Ezzaty Zainal turut berada dalam kumpulan sama.
Zairul Khalil Tan mengetuai senarai 10 penolong pengadil negara yang diiktiraf FIFA. Ini termasuk dua penolong pengadil wanita iaitu Nur Akmal Anuar dan Munirah Ha Ali.
Pengadil futsal wanita, Nurul Atikah Janah mengetuai senarai empat pegawai futsal Malaysia yang mendapat tauliah FIFA.
Senarai tersebut turut menyaksikan Malaysia dan Thailand saja yang memiliki pengadil untuk aksi bola sepak pantai.
Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin dan Muhammad Syahir Shaharul Nizam merupakan antara pengadil bola sepak pantai Asia Tenggara yang mendapat pengiktirafan badan induk itu.
Thailand mengetuai senarai pengadil FIFA dari Asia Tenggara dengan angka seramai 28 orang. Ini disusuli Malaysia yang memiliki 23 orang pengadil.
Vietnam, Myanmar dan Singapura melengkapkan senarai tersebut dengan masing-masing memiliki 19, 17 dan 13 pengadil yang diiktiraf badan induk itu.