Argentina akhirnya menamatkan penantian yang cukup menyiksakan selama 36 tahun apabila menumpaskan Perancis untuk menjuarai Piala Dunia di Qatar tahun ini.
Perlawanan epik ini menyaksikan aksi terikat 3-3 sebelum pasukan kendalian Lionel Scaloni berjaya menoktahkan kemenangan menerusi sepakan penalti.
Namun begitu, perkara yang paling menarik mengenai kejohanan ini adalah tiga orang daripada barisan kejurulatihan Argentina pernah menjejakkan kaki di Malaysia.
Individu yang dimaksudkan ialah ketua jurulatih Argentina itu sendiri yang pernah bersama skuad kebangsaannya ketika beraksi dalam Kejohanan Remaja Dunia FIFA 1997 yang berlangsung di Malaysia.
Ketika itu, mereka berjaya menjuarai kejohanan tersebut selepas menewaskan satu lagi negara Amerika Selatan, Uruguay.
Menurut perkongsian Faris Jusof di laman Instagram, Scaloni turut bersama-sama dengan rakan sepasukan, Walter Samuel yang juga kini bergelar pembantu jurulatihnya untuk menjulang kejuaraan itu.
Bekas pemain import JDT, Pablo Aimar yang juga merupakan salah satu ikon bola sepak negara Amerika Selatan itu turut bersama-sama dalam skuad tersebut.
Kini, mereka bertiga telah membantu negara kelahiran untuk terus mendominasi pentas bola sepak dunia.
Argentina menjulang Piala Dunia di Qatar menerusi sepakan penalti selepas perlawanan berakhir 3-3 sehingga masa tambahan.