Advertisement
3 Beregu Malaysia Bawa Pulang Hampir RM92,000
UltraSukan
UltraSukan
MSNM/BAM/BWF

Tiga beregu Malaysia membawa pulang ganjaran lumayan hampir RM92,000 selepas mara ke peringkat separuh akhir Malaysia Open 2025.

Tiga beregu tersebut ialah Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai (beregu campuran) serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki).

Ketiga-tiga beregu berkenaan menerima hadiah wang berjumlah AS$20,300 (RM91,603) atas pencapaian mereka itu.

Langkah Soon Huat-Shevon disekat wakil Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran. Tang Jie-Ee Wei pula kecundang di tangan beregu nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Cabaran Wei Chong-Kai Wun pula ditamatkan beregu China, Chen Bo Yang-Liu Yi dalam separuh akhir acara beregu lelaki.

Pencapaian tersebut turut membantu Tang Jie-Ee Wei dan Soon Huat-Shevon meraih kedudukan ketiga dan keempat dunia.

Ini berdasarkan semakan ranking terbaru yang akan dikeluarkan Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) selepas tamat saingan Malaysia Open 2025.

Tang Jie-Ee Wei turut mengikut jejak langkah dua legenda badminton negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying. Gandingan mereka sebagai beregu campuran negara berjaya meraih ranking ketiga dunia pada tahun 2012.

Tang Jie-Ee Wei dan Soon Huat-Shevon mengetuai cabaran empat beregu campuran negara dalam India Open 2025. Selain mereka, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sin turut mengambil bahagian.