Tatkala saingan Liga Super 2023 menghampiri ke penghujungnya, saingan sengit bagi merebut posisi ke Asia masih belum dimuktamadkan.
Kedudukan tempat ke-2 Liga Super ketika ini dipimpin oleh Selangor FC yang dilihat berupaya untuk menamat saingan pada posisi tersebut.
Walau bagaimanapun, tumpuan terarah kepada beberapa pasukan yang dijangka mampu memberi kejutan untuk merampas slot tersebut.
Pada musim ini, cabaran Malaysia ke Piala AFC telah dipacu oleh Terengganu dan Sabah FC selepas berjaya meraih tempat ke-2 dan 3 dalam saingan Liga Super musim lalu.
Perkembangan terbaru menyaksikan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hanya menawarkan satu slot sahaja ke Piala AFC kepada Malaysia sementara slot ke ACL dalam genggaman juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Berdasarkan kedudukan semasa, The Red Giants berada dalam kedudukan baik namun perlu berdepan Terengganu, Kedah dan PDRM dalam 4 aksi terakhir pasukan.
Sementara itu, anak didik Nafuzi Zain yang memiliki kelebihan satu aksi dalam tangan perlu melepasi halangan KL City, Selangor dan Sabah dan perlu merekodkan kemenangan bersih sambil mengharapkan pasukan lain keciciran mata.
Menurut pandangan penganalisis bebas Astro Arena, Asmawi Bakiri, beliau tetap merasakan kelebihan menjadi milik Selangor yang berkelebihan 5 mata.
“Kedah sekarang perlu berharap agar Selangor tewas dua aksi manakala mereka perlu menang kesemua baki perlawanan.”
“Perjalanan Selangor berliku kerana mereka akan bertemu Kedah, Terengganu dan PDRM,” jelasnya kepada Astro Arena.
Satu lagi pasukan yang dijangka mampu memberi tekanan kepada pasukan atasan liga ialah Sabah FC namun berdepan kesukaran disebabkan jadual yang padat dalam saingan Piala AFC.
“Sabah bagaimanapun kini memiliki satu jadual yang amat padat kerana beraksi di Piala AFC. Kemungkinan pemain cedera ada di situ dan mungkin memberi sedikit kelebihan pada pasukan lain,” tambahnya lagi.