3 Pemain Baharu ‘Buka Mata’ Tan Cheng Hoe
MakanBola
Malaysia NT

Tiga pemain baharu berjaya membuka mata ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Jurulatih berpengalaman itu telah mengumumkan senarai 26 pemain pilihannya bagi membawa cabaran pasukan kebangsaan ke pentas ASEAN Hyundai Cup 2026.

Beliau menyenaraikan hampir separuh muka baharu bersama Malaysia dengan mengekalkan beberapa tonggak utama bagi menghadapi kejohanan bermula Sabtu, 25 Julai ini.

Cheng Hoe memberi kepercayaan kepada pertahanan Kuching City FC, Rodney Celvin yang berjaya membantu pasukan untuk melangkah ke pentas Asia iaitu AFC Champions League Two (ACL2) musim 26-27.

Beliau beraksi hampir 32 perlawanan di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak dan berjaya muncul antara tonggak paling konsisten di Liga Malaysia.

Selain itu, jurulatih berpengalaman negara ini turut memanggil perancang tengah Sporting JAX, Wan Kuzain Wan Kamal.

Pemain berusia 28 tahun itu berada dalam Senarai Akhir buat kali pertama selepas berada dalam Senarai Bersedia selama tiga kem berturut-turut.

Beliau merupakan antara pemain tengah negara paling konsisten di luar negara ketika beraksi bersama St Louis City 2, musim lalu menerusi 25 kali beraksi di Amerika Syarikat.

Cheng Hoe juga membuka peluang buat penyerang Vencedor Mie United, Hadi Fayyadh untuk mengetuai jentera serangan pasukan.

Tonggak berusia 26 tahun itu kembali ke Jepun selepas kembali beraksi di Malaysia bersama Perak FC pada tahun 2023.

Malaysia bakal membuka tirai saingan menentang Myanmar di tempat lawan pada 25 Julai 2026 dengan skuad negara berada dalam Kumpulan B bersama Laos, Thailand dan juga Filipina.