Wan Kuzain Teruja Sarung Jersi Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Pemain tengah Sporting JAX, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal mengakui teruja dengan prospek menyarung jersi Harimau Malaya.

Kuzain antara 26 pemain yang dipanggil jurulatih interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk kempen ASEAN Hyundai Cup 2026.

Sebaik saja mengetahui namanya dipanggil dalam kem kali ini, beliau menzahirkan perasan gembira kerana impiannya menyarung jersi negara semakin hampir menjadi kenyataan.

“Sangat teruja,” katanya ringkas di X. Sebelum ini, Kuzain pernah dipanggil menyertai latihan skuad Malaysia Bawah 22 Tahun (B-22) untuk Sukan SEA 2019.

Walau bagaimanapun, namanya terpaksa disisihkan untuk skuad akhir negara ke temasya itu susulan isu dokumentasi kerakyatan beliau.

Sebaik hantaran tersebut disiarkan di X, ramai peminat bola sepak negara gembira melihat beliau menyertai kem Harimau Malaya. Seorang pengguna X bernama AqilSri118866 menyifatkan ini sebagai pengakhiran penantian Kuzain buat sekian lama.

“Akhirnya, selamat berjaya (Kuzain),” katanya. Turut senada dengan dia ialah seorang lagi peminat bernama Alip menerusi komen ini, “Selamat datang ke skuad kebangsaan Malaysia. Selamat berjaya.”

Kuzain antara tiga pemain yang berpangkalan di luar negara yang dipanggil untuk skuad kali ini. Selain beliau, Cheng Hoe turut memanggil Richard Chin dan Hadi Fayyadh Abdul Razak.