Advertisement
3 Pemain Handalan Jadi Tumpuan Aksi Selangor & Kedah
Liga Super
MakanBola
Selangor FC / Kedah DA FC

Tiga pemain menjadi tumpuan bagi pertembungan Liga Super (LS2) yang berlangsung minggu ini.

Pasukan kendalian Nidzam Jamil berhempas pulas untuk mempersiapkan pasukan bagi mengharungi aksi pertama musim 2024/25 selepas tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih tempoh hari.

Tumpuan bagaimanapun terarah kepada tiga watak penting Selangor dan Kedah Darul Aman untuk memastikan pasukan membawa pulang tiga mata.

Pemain tumpuan bagi The Red Giants adalah penyerang berbisa pasukan Kedah, Syafiq Ahmad.

Nidzam Jamil mengakui bahawa pemain berusia 28 tahun itu merupakan salah seorang pemain yang menjadi fokus pasukan pada aksi di Stadium MBPJ.

“Kita tidak nampak hanya Syafiq Ahmad. Sudah pasti Syafiq berada pada tangga teratas senarai kita tetapi Kedah masih memiliki beberapa pemain lain seperti Sony Norde yang berpengalaman beberapa musim di Liga Super.

“Jadi, beliau sentiasa konsisten dalam liga. Kemudian, mereka ada Habib yang boleh mengawal bahagian tengah dan sudah tentu ketua jurulatih mereka, Nafuzi. Antara jurulatih yang amat dihormati di Malaysia. Jadi, pasukan itu yang buat kita teruja untuk bermain,” jelasnya kepada Astro Arena.

Bekas peledak Harimau Malaya ini hanya memerlukan 33 saat untuk membuka akaun jaringan Liga Super ketika bertemu PDRM minggu lalu.

Pemain kedua yang menjadi tumpuan ialah pemain sayap baharu Selangor, Alvin Fortes.

Bekas pemain Ratchaburi FC itu difahamkan mengalami kecederaan namun situasi semasa memungkinkan beliau untuk beraksi.

Fortes sudah meledak beberapa gol dalam aksi pra-musim termasuklah ketika membantu pasukan untuk muncul juara Selangor Asia Challenge 2024.

Seorang lagi pemain tumpuan bagi perlawanan ini ialah Umar Eshmurodov.

Kapten pasukan kebangsaan Uzbekistan ini menjadi pengganti kepada Yazan Al-Arab selain beraksi cemerlang dalam kempen Piala Asia 2023 di Qatar awal Januari lalu.

Pemain berusia 31 tahun itu membantu Selangor untuk tidak bolos bagi aksi menentang Brunei DPMM dan juga Young Elephants.

Aksi Selangor dan Kedah Darul Aman dijadualkan berlangsung pada 18 Mei 2024 jam 8:15 malam di Stadium MBPJ.