Advertisement
3 Pemain Korea Selatan Antara Watak Penting Jeonbuk Hyundai Hadapi Selangor
ACL
MakanBola
Jeonbuk Hyundai Motors

Tiga pemain skuad kebangsaan Korea Selatan bakal memperkuat cabaran Jeonbuk Hyundai Motors menentang Selangor FC.

Selepas meraih satu kemenangan dan satu keputusan seri dalam Kumpulan H, Merah Kuning kini berdepan cabaran paling sukar dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2024/25.

Ini kerana mereka bakal berdepan pendahulu kumpulan yang juga kelab gergasi Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors.

Meskipun pasukan itu kini fokus dengan pusingan playoff penyingkiran K-League 1, Jeonbuk tetap berusaha memberi cabaran di pentas Asia.

Ini dibuktikan dengan dua kemenangan yang diraih dalam dua aksi sebelumnya. Jeonbuk yang dibimbing bekas pemain import Negeri Sembilan FC, Kim Do-heon telah membelasah Dynamic Herb Cebu dan Muangthong United.

Dan ini dibantu dengan kehadiran tiga pemain Pahlawan Taegeuk dalam pasukan Jeonbuk. Tiga pemain tersebut ialah penjaga gol muda, Kim Jun-hong dan dua pemain tengah, Lee Seung-woo dan Moon Seon-min.

Jun-hong baru-baru ini dipanggil menyertai skuad kebangsaan Korea Selatan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Jordan dan Iraq.

Meskipun belum merekodkan sebarang penampilan di peringkat antarabangsa, penjaga gol berusia 21 tahun itu dilihat sebagai pemain sokongan untuk Jo Hyeon-woo dan Kim Seung-gyu.

Sementara Seon-min yang beraksi di bahagian sayap bukan asing di peringkat antarabangsa. Selain mengutip 16 penampilan bersama Korea Selatan, beliau juga pernah beraksi untuk dua kelab Sweden, Ostersunds dan Djurgardens.

Manakala Seung-woo pula merupakan graduan akademi bola sepak Barcelona. Selepas kurang menyerlah di luar negara, pemain berusia 26 tahun itu kembali menyerlah bersama Suwon FC sebelum menyertai Jeonbuk pada 2024.

Kehadiran tiga figura ini bakal memberi cabaran kepada Selangor apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium MBPJ pada 23 Oktober ini.

Aksi ini juga dilihat peluang buat Jeonbuk bangkit selepas tewas mengejut 2-0 kepada Daejeon Hana Citizen pada 19 Oktober ini.