Hasrat Jeonbuk Hyundai Motors meraih kemenangan sebelum aksi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menentang Selangor FC tidak kesampaian.
Ini selepas pasukan itu tewas 2-0 kepada Daejeon Hana Citizen dalam aksi pertama pusingan playoff penyingkiran K-League 1 musim 2024.
Jeonbuk yang dibimbing bekas pemain import Negeri Sembilan FC, Kim Do-heon berharap dapat meraih kemenangan sebagai suntikan semangat sebelum kempen Kumpulan H ACL2.
Malangnya, usaha pasukan itu tidak membuahkan hasil. Sebaliknya, Daejeon Hana selaku pelawat berjaya mencuri tiga mata menerusi dua gol Kim Jun-beom pada separuh masa kedua.
Dua gol berkenaan memastikan Daejeon Hana kini berada di tangga keempat kumpulan playoff penyingkiran K-League 1 dengan 38 mata. Manakala Jeonbuk pula kini dipisahkan dengan Incheon United di tangga keenam dengan empat mata.
Kekalahan ini dijangka membakar semangat Selangor yang dibimbing Nidzam Jamil untuk mencipta kejutan ke atas Jeonbuk.
Meskipun menurunkan skuad kedua untuk kempen ACL2, Do-heon dijangka memburu kemenangan untuk memperkukuh kedudukan Jeonbuk sebagai pendahulu Kumpulan H.
Merah Kuning dan Jeonbuk bakal berentap untuk aksi ketiga Kumpulan H di Stadium MBPJ pada 23 Oktober ini.