Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil menjangkakan cabaran berbeza bakal dihadirkan kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors untuk aksi Kumpulan H seterusnya.
Selepas dua perlawanan, Jeonbuk kini menerajui Kumpulan H dengan enam mata. Selain merekodkan dua kemenangan selesa, pasukan yang dibimbing Kim Do-heon itu turut merekodkan 10 gol.
Meskipun Jeonbuk menurunkan skuad kedua dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), pasukan itu menunjukkan mereka mampu bersaing dengan sesiapa saja.
Ini ditambah dengan hakikat Do-heon bukan asing dengan Selangor dan saingan Liga Malaysia (Liga M). Selain pernah beraksi untuk kelab West Brom, beliau juga pernah beraksi untuk Negeri Sembilan FC pada 2018.
Atas sebab itu, Nidzam menjangkakan Jeonbuk membawa cabaran berbeza apabila kedua-dua pasukan itu bertemu di Stadium MBPJ pada 23 Oktober ini.
“Lepas ini, kita akan main dengan Jeonbuk. Jadi, masalahnya mungkin berbeza. Muangthong dengan masalah yang lain, pasukan Cebu mempunyai masalah bermain yang lain.
“Tapi untuk Jeonbuk pasukan gergasi Asia, masalah yang lain. Jadi, untuk jawab soalan itu, kita kena jadi lebih utuh dan lebih baik. Sebab masalah yang kita akan hadapi di sini dengan Jeonbuk itu nanti 100% berbeza,” katanya.
Merah Kuning kini mengumpul empat mata dalam Kumpulan H selepas merekodkan satu kemenangan dan satu keputusan seri.
Selangor dijangka mahu meraih tonik semangat untuk saingan ACL2 dengan menghadapi cabaran PDRM FC di Stadium Selayang pada 19 Oktober ini.
Dengan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) tidak memiliki perlawanan minggu ini, ini juga peluang buat Merah Kuning merapatkan jurang mata dengan pendahulu liga itu kepada tiga mata.