Tiga tonggak Penang FC berjaya menambat perhatian pemangku jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menjelang kempen Pestabola Merdeka 2024.
Tiga pemain tersebut ialah Syamer Kutty Abba, Adib Ra’op dan Sikh Izhan Nazrel. Syamer dan Adib tersenarai dalam senarai 26 pemain yang menyertai kem latihan Harimau Malaya.
Manakala Sikh Izhan pula diletakkan dalam senarai pemain yang bersedia. Beliau akan dipanggil seandainya salah seorang daripada tiga penjaga gol negara iaitu Syihan Hazmi Mohamed, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi atau Azri Ghani mengalami kecederaan.
Pemilihan ketiga-tiga pemain oleh bekas jurulatih Barcelona B itu dibuat selepas ketiga-tiganya menonjolkan prestasi cemerlang bersama Harimau Kumbang.
Sejak menyertai Penang secara pinjaman dari Selangor pada awal musim 2024/25, Sikh Izhan membuktikan dirinya boleh diharap untuk mengawal gawang. Beliau memastikan gawang pasukan utara tanah air itu hanya dibolosi lapan kali.
Sementara Adib pula terus mempamerkan persembahan konsisten di bahagian bek kiri. Bergandingan bersama Fairuz Zakaria, Richmond Ankrah dan kapten, Rafael Vitor, kuartet ini memastikan bola tidak sampai ke gawang Penang.
Manakala Syamer kembali membuktikan dirinya sebagai antara pemain tengah bertahan terbaik selepas menyertai Penang secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Bergandingan bersama tonggak import Brazil, Neto Oliveira, gandingan ini bukan saja merencana setiap peluang buat jentera serangan Harimau Kumbang. Malah, Syamer turut membantu Neto mencipta dua gol daripada sembilan gol Penang musim ini.
Kelibat trio ini bakal memberi lebih banyak pilihan kepada Pau Marti dalam merencana kesebelasan ampuh menjelang Pestabola Merdeka 2024 yang berlangsung pada September ini.