Pertarungan posisi melibatkan tiga pemain utama pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2026 antara Johor Darul Ta’zim – JDT vs Kuching City mencuri tumpuan.
Pasukan kendalian Xisco Munoz membawa momentum cemerlang tatkala anak buah Aidil Sharin Sahak dijangka memberikan cabaran terhebat pada final di Bukit Jalil, Sabtu ini.
Dua wakil Malaysia pada pentas Asia musim 26-27 bakal berentap dengan skuad Harimau Selatan turun dengan reputasi selaku juara bertahan kejohanan.
Posisi yang menjadi tumpuan peminat melibatkan penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi (JDT) dan Haziq Nadzli (Kuching City) yang dijangka menjadi pilihan utama untuk mengemudi gawang gol pasukan masing-masing.
Pada musim ini, Syihan (30) menjadi sosok penting selain merekodkan jumlah bolos paling rendah bagi saingan Liga Super Malaysia dengan 10 kali dibolosi.
Haziq Nadzli (29) pula tidak kurang hebatnya, hanya dibolosi 14 kali (kedua terendah) sekali gus membantu The Cats untuk menduduki tangga kedua liga dengan 53 mata untuk menjadi wakil Malaysia pada pentas AFC Champions League Two (ACL2) musim hadapan.
Sementara itu, bahagian tengah pula bakal menyaksikan potensi pertembungan antara dua maestrotempatan yang berbisa – Afiq Fazail dan juga Daniel Amier Norhisham.
Afiq dijangka mengetuai jentera tengah JDT selepas tampil dalam 42 aksi secara keseluruhan bersama pasukan musim ini sementara Daniel Amier menjadi tunjang utama kreativiti Kuching City musim 25/26.
Posisi serangan menjadi tumpuan utama dengan kedua-dua pasukan memerlukan jaringan untuk dinobatkan selaku pemenang Piala Malaysia edisi 25-26.
JDT dijangka mempertaruhkan penyerang terbanyak pasukan, Bergson Da Silva manakala Kuching City memiliki gandingan Ronald Ngah Wanja dan juga Jordan Mintah untuk menembus gawang skuad Harimau Selatan.
Perlawanan antara JDT menentang Kuching City dijadual berlangsung pada Sabtu, 23 Mei 2026 jam 9.00 malam di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil.