Seramai tiga pengadil dari Malaysia telah dipilih oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk ke kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar yang dijadualkan bermula 12 Januari ini.
Tiga pengadil yang terpilih itu adalah Muhammad Nazmi Bin Nasaruddin, Mohamad Zairul Bin Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Bin Abd Rasid. Nazmi merupakan pengadil perlawanan manakala Zairul dan Arif dilantik sebagai pembantu pengadil.
Selain tiga pengadil yang dipilih AFC, Malaysia juga mempunyai dua lagi wakil yang mempunyai peranan berbeza di Piala Asia kelak.
Bekas pengadil terkemuka tanah air, Subkhiddin Mohd Salleh terpilih sebagai Pakar Teknikal manakala C. Ravichandran dilantik sebagai Instruktor Kecergasan.
Nama Nazmi Nasaruddin bukanlah nama yang asing dalam arena bola sepak tanah air apabila sering menjadi pilihan untuk mengadili perlawanan-perlawanan besar seperti perlawanan akhir dan juga beberapa perlawanan di benua Asia.
Gandingan Nazmi, Zairul dan Arif Shamil pernah digunakan oleh AFC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC baru-baru ini untuk perlawanan Buriram United menentang wakil China, Zhejiang FC di Stadium Chang Arena, Thailand.
Dalam perlawanan tersebut, Nazmi mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pengadil Malaysia pertama yang menggunakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).
Dengan terpilihnya tiga pengadil ini ke Piala Asia, ianya satu mesej jelas bahawa pengadil tempatan setaraf dengan pengadil-pengadil lain di pentas antarabangsa.