Skuad Harimau Malaya berpeluang mencipta beberapa pencapaian bermakna sekiranya berjaya menewaskan China dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Guangdong pada Sabtu ini.
Pertembungan tersebut bukan sekadar peluang untuk menguji kemampuan pasukan kendalian Tan Cheng Hoe, malah kemenangan mampu memberikan kesan positif kepada sejarah bola sepak negara, kedudukan ranking FIFA dan momentum pasukan.
1. Akhiri Penantian 46 Tahun Tewaskan China
Kemenangan ke atas China bakal menamatkan penantian panjang Harimau Malaya yang kali terakhir menewaskan pasukan itu menerusi keputusan 3-1 pada 16 Mac 1980.
Sejak kemenangan tersebut, Malaysia masih belum berjaya mengulangi pencapaian sama dalam pertemuan berikutnya dengan rekod perlawanan terakhir pada September 2023 berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Justeru, kejayaan menumbangkan China kali ini akan menjadi detik bersejarah buat Harimau Malaya selepas menanti selama 46 tahun untuk kembali mencatat kemenangan ke atas pasukan berkenaan.
2. Kutip Mata Tambahan Ranking FIFA
Selain mencipta sejarah, kemenangan ke atas China turut membuka peluang buat Malaysia mengutip tambahan mata penting dalam kedudukan ranking FIFA.
Berdasarkan anggaran pengiraan mata ranking semasa, Harimau Malaya berpotensi memperoleh tambahan kira-kira 6.31 mata sekiranya berjaya menewaskan China.
Tambahan tersebut dijangka meningkatkan kutipan Malaysia kepada 1,108.40 mata dan berpotensi melonjakkan kedudukan negara daripada tangga ke-133 kepada ke-132 dunia.
Kedudukan ranking yang lebih baik juga penting untuk membantu Malaysia mendapatkan kedudukan balang undian lebih baik bagi kejohanan antarabangsa akan datang termasuk kelayakan Piala Dunia 2030 dan Piala Asia 2032.
3. Lebarkan Rekod Tanpa Kalah
Kemenangan ke atas China juga bakal membolehkan Harimau Malaya meneruskan rekod tanpa kalah yang sedang dibina sejak kekalahan terakhir kepada Vietnam dengan keputusan 0-2 dalam saingan ASEAN Hyundai Cup.
Sejak perlawanan tersebut, skuad negara berjaya mengharungi beberapa aksi antarabangsa tanpa tewas, termasuk kempen Piala ASEAN FIFA 2026 yang menyaksikan Malaysia mencatatkan tiga kemenangan dan satu keputusan seri.
Justeru, kejayaan menewaskan China bukan sahaja akan menambah satu lagi kemenangan dalam rekod pasukan, malah menjadi suntikan keyakinan buat pemain menjelang tugasan antarabangsa seterusnya menentang Yemen pada 17 November.
Dengan tiga senario menarik ini menanti, penyokong Harimau Malaya pastinya mengharapkan skuad negara mampu memberikan aksi terbaik dan membawa pulang keputusan positif dari bumi China.


