Advertisements
3 Tonggak JDT Dipinjamkan
Transfer
MakanBola
Johor Southern Tigers

3 tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah dibawa pinjam ke kelab lain bagi saingan musim 2024/25.

Skuad kendalian Hector Bidoglio mengharugi musim cemerlang apabila kini mendahului carta saingan Liga Super.

Harimau Selatan juga memulakan langkah di pentas Asia dengan cukup baik apabila berjaya merekodkan 4 mata daripada 3 perlawanan awal.

Kehadiran beberapa watak baharu dalam pasukan terutamanya pada posisi serangan seperti Jorge Obregon, Enzo Lombardo, Iker Undabarrena dan Eddy Israfilov menyaksikan beberapa pemain telah dipinjamkan.

Perancang tengah naturalisasi negara, Endrick Dos Santos telah menyertai kelab Vietnam, Ho Chi Minh City sekaligus menjadi pemain Malaysia pertama ke sana.

Tonggak berusia 28 tahun itu kini menjadi sandaran utama pasukan Vietnam itu sekaligus memperoleh lebih banyak minit permainan sekitar 540 minit.

Tonggak kedua yang dipinjamkan ke kelab luar negara ialah penyerang muda JDT, Fergus Tierney yang kini berkelana di Thailand.

Pemain berusia 22 tahun itu telah menyertai kelab Thai League 2, Chonburi FC dan sudah pun diturunkan dalam 10 perlawanan selain berjaya merekodkan satu jaringan setakat ini.

Seorang lagi pemain muda berbakat besar JDT telah membawa haluan ke Kuching City iaitu Ramadhan Saifullah.

Tonggak berusia 23 tahun itu telah beraksi bersama skuad utama Harimau Selatan sejak tahun 2020 telah menyertai pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak yang kini cemerlang dalam saingan Liga Super.

JDT kini merupakan pasukan ke-5 terbaik di Asia berdasarkan laman Opta Analyst dan bakal berdepan Ulsan HD pada 5 November.