Tiga perlawanan penting bakal menjadi ujian terhebat buat pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
Pasukan kebangsaan mencatatkan prestasi yang cukup memberangsangkan sejak diambil alih oleh jurulatih kelahiran Australia ini pada Januari tahun 2024.
Harimau Malaya kini menduduki tangga teratas Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 dengan 15 mata, tiga mata dipisahkan dengan pasukan tangga kedua, Vietnam (12 mata).
Malaysia dijangka membuka tirai saingan 2026 dengan menghadapi aksi terakhir Kumpulan F menentang Vietnam di gelanggang lawan pada 31 Mac 2026.
Rekod menyaksikan Harimau Malaya cemerlang melakar kemenangan besar 4-0 pada aksi pertama kumpulan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025.
Skuad negara juga bakal bertemu dua lagi pasukan handalan di Asia Tenggara iaitu bagi perlawanan ASEAN Hyundai Cup 2026 menentang Thailand dan Filipina.
“Memandangkan ia diadakan di luar kalendar antarabangsa FIFA, ini membolehkan kami menambah lebih ramai pemain baharu.
“Ini juga memberi pengalaman antarabangsa buat pemain baru dan memperkuatkan laluan ke skuad Harimau Malaya,” ujar Cklamovski.
“Kami membuat persiapan untuk menghadapi kejohanan besar pada masa hadapan termasuk Sukan SEA 2027 di Malaysia,” tambahnya.
Malaysia bakal menentang Thailand pada akso ketiga kumpulan, 1 Ogos 2026 sebelum Filipina menjadi halangan terakhir pada 8 Ogos 2026.