Tiga wakil Malaysia dalam sukan badminton iaitu Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah telah mengumpul hadiah wang hampir RM1.5 juta.
Selepas mengharungi 15 kejohanan antarabangsa, Zii Jia telah meraih hadiah wang lebih AS$112,000 (RM487,000). Ini termasuk kejayaannya bergelar juara Thailand Open 2024 dan Australian Open 2024.
Selain itu, Zii Jia juga menjadi finalis saingan Malaysia Masters 2024 sebelum tewas kepada Viktor Axelsen. Pencapaiannya dalam tiga kejohanan itu membolehkan beliau meraih AS$78,000 (RM340,000).
Sementara itu, prestasi beregu lelaki utama negara, Aaron-Wooi Yik mempengaruhi bilangan hadiah wang yang diterima dalam 10 kejohanan antarabangsa yang disertai mereka.
Pencapaian terbaik bekas juara dunia 2022 itu untuk tahun 2024 ialah naib juara All England dan separuh akhir India Open dan Badminton Asia Championship.
Pencapaian tiga kejohanan ini membolehkan Aaron-Wooi Yik meraih AS$63,700 (RM278,000). Jumlah keseluruhan hadiah wang yang diterima bekas juara Denmark Open 2023 itu ialah AS$96,607 (RM421,000).
Manakala beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah terus membuktikan pencapaian separuh akhir Sukan Olimpik 2024 bukan omong kosong.
Perubahan corak permainan yang ditampilkan di Paris bukan saja membantu mereka muncul juara Hong Kong 2024. Malah, Pearly-Thinaah turut muncul finalis Korea Open 2024 dan Arctic Open 2024.
Pencapaian dalam tiga kejohanan itu membantu mereka meraih hadiah wang berjumlah AS$65,100 (RM284,000). Selepas beraksi dalam 15 kejohanan, Pearly-Thinaah telah meraih hadiah wang berjumlah AS$113,612 (RM495,000).
Jika digabungkan dengan semua hadiah wang yang diterima, jumlah keseluruhannya ialah sebanyak RM1.4 juta.
Jumlah hadiah yang diterima dijangka bertambah seandainya Zii Jia, Aaron-Wooi Yik dan Pearly-Thinaah menyerlah dalam beberapa lagi kejohanan jelajah BWF pada November ini.