4 agenda besar menjadi topik perbincangan antara Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail dan juga Ketua Umum PSSI, Erick Thohir.
Menerusi satu perkongsian oleh laman Johor Southern Tigers, pertemuan itu dihadiri oleh beberapa nama besar termasuklah pemilik kelab Valencia CF.
“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terima mengadap Erick Thohir, Pengerusi Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia; Glenn Sugita, pemilik kelab Persib Bandung dan Peter Lim, pemilik kelab Valencia CF di Singapura pada 12 November 2024.
Pertemuan itu bagi membincangkan senario semasa bola sepak Asia Tenggara khususnya bagi meningkatkan mutu bola sepak ASEAN.
“Pertemuan tertumpu kepada senario bola sepak serantau, terutamanya perkembangan bola sepak, pengurusan kelab bola sepak dan langkah-langkah untuk meningkatkan tahap sukan bola sepak di rantau Asia, khasnya di negara-negara ASEAN,” ujar kenyataan JST.
Perkara ini juga dikongsikan oleh Erick Thohir yang menyatakan rasa senang dapat bertemu beberapa tokoh hebat bola sepak ketika ini.
“Bertemu dengan Putra Mahkota Johor, Mayor Jenderal Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim yang juga pemilik klub raksasa Malaysia, Johor Darul Takzim. Beliau punya visi besar untuk sepak bola Asia Tenggara bahkan Asia.
“Sangat menarik berdiskusi dengan beliau tentang kualitas sepak bola di negara-negara Asia Tenggara. Kami ingin negara di Asia Tenggara bisa bersaing di level Asia bahkan hingga level dunia,” ujar Erick Thohir.
DYAM Tunku Ismail turut memuji Erick Thohir kerana telah berjaya memartabatkan pasukan kebangsaan Indonesia dan Baginda yakin bahawa ada masa depan yang menarik untuk bola sepak ASEAN.