Empat perlawanan membabitkan legenda Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) sudah mencatatkan kehadiran hampir 60,000 orang.
Ini berdasarkan data kehadiran yang dikongsikan Buletin Bola Kelantan membabitkan empat perlawanan yang dinyatakan.
Berdasarkan data kehadiran, perlawanan menentang legenda Terengganu FC menyaksikan 8,000 penyokong hadir.
Aksi menentang legenda Pahang dan Carabat FC pula masing-masing mencatatkan kehadiran 15,000 dan 15,200 orang.
Kehadiran paling ramai direkodkan dalam aksi menentang legenda Selangor FC iaitu 20,000 orang. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 58,200 orang.
Angka ini jauh mengatasi rekod kehadiran tuan rumah untuk 11 pasukan dalam Liga Super musim 2024/25.
Tidak mustahil angka ini akan bertambah apabila legenda Kelantan bakal berentap dengan legenda Kedah pada 27 Jun ini.
Aksi ini juga bakal dihangatkan dengan kehadiran bekas penyerang berbisa Kelantan dari Lubnan, Mohammad Ghaddar.