4 calon telah disenarai pendek sebagai barisan akhir yang berpotensi untuk mengemudi Harimau Malaya.
Skuad negara kini dibimbing oleh Ketua Jurulatih, Pau Marti berjaya memperagakan aksi cemerlang selepas muncul juara Pestabola Merdeka 2024.
Malaysia menundukkan Lubnan 1-0 hasil jaringan Romel Morales untuk muncul juara selepas berduka pada edisi lalu.
Perkara ini dikongsikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi selepas FAM memberikan ruang buat Pau Marti mengemudi Harimau Malaya.
“Pendekatan yang diberikan kepada Pau Marti adalah untuk melakukan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan. Kita akan lihat prestasinya sehingga bulan 12 ini kerana pada bulan Mac 2025 sudah ada Kelayakan Piala Asia 2027.
Yusoff Mahadi juga memaklumkan bahawa terdapat beberapa calon yang berpotensi untuk membawa cabaran Harimau Malaya ke tahap yang lebih tinggi.
“Kita juga perlu lihat faktor-faktor lain kerana kita memerlukan seorang jurulatih yang kuat untuk mengemudi Harimau Malaya. Pasukan mahu pergi lebih jauh, jadi pengemudinya perlu betul-betul kuat.
“Ramai jurulatih yang mahu mengemudi Malaysia selepas melihat peningkatan pasukan. Pada akhirnya, kita akan memilih yang sesuai dengan kita. Jurulatih mestilah memahami budaya pasukan kita. Jika nama besar tetapi tidak memahami juga akan menimbulkan masalah lain,” jelasnya.
“Semua calon jurulatih dari luar negara. Senarainya panjang tetapi saya boleh katakan 3-4 orang ketika ini dalam pertimbangan,” tambahnya ketika ditemui di Wisma FAM.
Aksi antara Malaysia dan New Zealand akan berlangsung pada 14 Oktober 2024 di Auckland jam 8 malam.