PDRM layak digelar The Giant Killer pada saingan Liga Super musim ini apabila membuatkan 4 pasukan gergasi rugi besar.
Skuad bimbingan P. Maniam kini mula mempamerkan belang apabila merekodkan tiga perlawanan tanpa kalah dengan kali terakhir tewas di tangan Sri Pahang pada 15 September lalu.
Selepas kekalahan itu, PDRM melayani kunjungan semi finalis Zonal AFC Cup musim lalu, Sabah di Selayang dan berjaya meraih kemenangan 1-0 hasil gol tunggal Ifedayo Olusegun.
Prestasi itu diteruskan lagi apabila PDRM cemerlang mencuri satu mata dari Gong Badak setelah mengikat naib juara Piala Malaysia, Terengganu 1-1 dengan Chidi Osuchukwu muncul wira The Cops.
Rentak positif itu dibawa ke laman sendiri apabila menerima kedatangan Selangor dengan gol PDRM di masa kecederaan memusnahkan hajat naib juara Liga Super 2023 itu meraih 3 mata.
Satu lagi jaguh yang terpaksa akur kehilangan mata bertemu PDRM adalah Johor Darul Ta’zim pada 31 Julai lalu apabila juara Liga Super 10 kali itu diikat seri 1-1 oleh anak didik P. Maniam.
PDRM kini berada di tangga ke-5 Liga Super dengan 16 mata terkumpul hasil empat kemenangan, empat keputusan seri dan empat kekalahan dalam 12 perlawanan setakat ini.
Ujian seterusnya buat skuad Sang Saka Biru adalah pada 25 Oktober hadapan dengan bertandang ke bumi Darul Aman untuk berdepan Kedah bagi aksi Liga Super minggu ke-13.