Cabaran sebenar skuad muda Malaysia adalah apabila mereka bakal berdepan saingan Sukan SEA tidak lama lagi.
Kejohanan yang berlangsung di Kemboja itu menyaksikan anak didik E. Elavarasan bakal berdepan lawan yang sukar seperti Thailand dan juga Vietnam.
Cabaran ini dilihat masih realistik tatkala penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yakin para pemain yang diberi kepercayaan mampu menggalas tugas dengan baik.
Katanya, sungguhpun beliau tidak tersenarai, barisan pemain kali ini mampu menggalas tugas dengan baik.
“Mungkin tiada saya tapi ada lagi pemain yang hebat. Mereka mungkin tak tahu pemain Malaysia hebat-hebat, nanti mereka akan tahu.”
Pemain berusia 20 tahun itu memberi bayangan bahawa empat pemain ini bakal mengetuai kudrat anak didik E. Elavarasan untuk mengulangi pencapaian layak ke separuh akhir seperti edisi sebelumnya.
“Bagi saya Mukhairi, Haqimi Azim, Harith Haiqal dan Zikri Khalili merupakan pemain yang hebat,” jelasnya kepada Astro Arena.
Luqman yang kini beraksi bersama kelab Iceland, Njardvik FC mahu memberi fokus sepenuhnya untuk membantu pasukan bersaing sebaik mungkin.
Malaysia berada dalam kumpulan B bersama-sama juara 16 kali, Thailand dan juara bertahan, Vietnam sementara dua lagi pasukan yang turut berada dalam kumpulan sama ialah Singapura dan Laos.
Prestasi memberangsangkan di Piala Merlion juga menjadi tonik terbaik untuk dibawa ke kejohanan berprestij Asia Tenggara tersebut bagi mengharumkan nama Malaysia.