Penyokong Harimau Malaya menerima berita gembira bahawa empat pemain warisan baharu kini dalam perjalanan ke Malaysia.
Sebelum ini, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memaklumkan tujuh bintang warisan baharu telah dikenal pasti untuk memperkuat Harimau Malaya.
Tujuh pemain tersebut berasal dari selatan Eropah dan beraksi di liga-liga utama benua berkenaan. Antara posisi yang dijangka diisi mereka ialah bek kiri, bek tengah, penyerang dan sayap kiri.
Kini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan empat pemain warisan baharu kini dalam perjalanan ke Malaysia untuk melengkapkan proses dokumentasi.
“Selain itu, FAM juga dalam proses melengkapkan dokumentasi bagi empat pemain lain,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.
“FAM berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas sokongan yang diberikan dalam usaha meningkatkan mutu pasukan Harimau Malaya.”
Sekiranya proses dokumentasi berjalan lancar, Harimau Malaya bakal mendapat suntikan pemain baru bagi menghadapi cabaran pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027.
Harimau Malaya bakal membuka kempen Kumpulan F dengan menentang Nepal pada 25 Mac ini.