Kecemerlangan pertahanan Terengganu FC menjadi kunci utama kejayaan pasukan itu mengalahkan Central Coast Mariners dalam saingan Piala AFC semalam.
Ini dibuktikan menerusi statistik keseluruhan perlawanan. The Mariners membuat 23 percubaan dengan lapan percubaan tepat ke arah gol tetapi kesemuanya berjaya digagalkan pertahanan tuan rumah.
Lebih menarik, kesemua pemain pertahanan yang mengawal benteng Terengganu semalam terdiri daripada pemain-pemain tempatan. Mereka ialah Shahrul Nizam Ros Hasni, Safwan Mazlan, Arif Fadzilah Abu Bakar dan Azam Azmi Murad.
Mengikut statistik Sofascore, Shahrul Nizam, Safwan dan Azam Azmi masing-masing meraih rating 7.5, 7.3 dan 7.1. Gandingan Shahrul-Safwan berjaya mengeluarkan bola sebanyak tujuh kali, halangan (empat kali), menghalang lawan (empat kali) dan kehilangan bola (tujuh kali).
Menariknya, Shahrul dan Safwan juga tidak melakukan kesalahan foul dengan Shahrul dua kali dikasari pemain-pemain The Mariners. Selain itu, kedua-duanya juga memenangi pertarungan berebut bola di udara sebanyak lima kali.
Sementara Azam pula bukan saja berjaya merampas bola sebanyak empat kali. Malah, bek kanan skuad B-23 kebangsaan itu turut berjaya melakukan tiga terjahan dan menyekat pergerakan lawan sebanyak dua kali.
Biarpun Arif Fadzilah tidak secemerlang rakan-rakan seposisi dengan rating 6.7, sumbangan beliau di bek kiri tetap penting. Dalam tempoh 83 minit di atas padang, beliau berjaya membuat hantaran dengan ketepatan 90% dan dua kali merampas bola daripada pemain Central Coast Mariners.
Sumbangan mereka ini membantu penjaga gol Suhaimi Husin memastikan gawang Terengganu tidak dibolosi semalam. Ini sekaligus membantu mereka meraih tiga mata dalam aksi pertama Kumpulan G.
Kini, jurulatih skuad Peteh, Tomislav Steinbruckner mengharapkan kecemerlangan ini diteruskan apabila mereka menentang Selangor FC dalam aksi kedua suku akhir Piala Malaysia pada 24 September ini.