Advertisement
5 Bintang Tarik Perhatian Aksi Lion City Sailors vs KL City
Asia Tenggara
MakanBola
LCSFC/KLCFC

Aksi ke-3 peringkat kumpulan B Shopee Cup antara Lion City Sailors vs KL City bakal menjadi perlawanan tumpuan khusus buat 5 pemain ini.

Setelah mencatatkan dua kemenangan sebelum ini, KL City terbang ke Kota Singa dengan misi meneruskan momentum apabila menentang Lion City Sailors dalam aksi kumpulan B.

Sementara itu, Lion City Sailors pula turun dalam aksi kali ini berbekalkan semangat penyokong di halaman sendiri dalam usaha untuk bangkit dari 2 kekalahan yang dialami sebelum ini.

Di sebalik pertemuan menarik ini, 5 tonggak Lion City Sailors dan KL City dijangka menjadi perhatian peminat kedua-dua pasukan.

1- Haqimi Azim

Penyerang Harimau Malaya ini dijangka sekali lagi mendapat kepercayaan pengendali, Miroslav Kuljanac bagi membarisi jentera serangan KL City bersama-sama ketua, Paulo Josue.

Dengan ketiadaan Motika kali ini, Haqimi bakal memainkan peranan besar di bahagian sayap dan itu bukanlah masalah apabila beliau pernah menjaringkan 1 gol ketika menentang Kaya FC.

2- Azri Ghani

Di posisi penjaga gol, nama Azri Ghani pasti menjadi pilihan dengan persembahan cemerlang yang ditampilkan oleh pemain berusia 26 tahun ini dalam 2 aksi awal kumpulan sebelum ini.

Gawang KL City masih belum dibolosi setakat ini hasil kerja keras Azri Ghani dan barisan pertahanan yang mengekang asakan lawan sekaligus mengangkat beliau sebagai penjaga gol dengan 2 clean sheets.

3- Giancarlo Gallifuoco

Salah seorang yang menjadi pemacu kejayaan KL City dalam dua aksi pertama lalu iaitu Giancarlo yang tampil tenang dan konsisten mengemudi benteng pertahanan bersama Adrijan Rudovic.

Dengan pengalaman yang dimiliki, kelibat Giancarlo pastinya menajdi aset penting KL City dalam mendepani cabaran Lion City Sailors yang memiliki penyerang-penyerang yang hebat dan berkualiti tinggi.

4- Shawal Anuar

Nama Shawal Anuar secara tiba-tiba menjadi sebutan para peminat setelah mempamer aksi memukau ketika bersama Singapura bulan lalu dan dijangka bakal menjadi pilihan buat serangan The Sailors.

Musim ini, Shawal sudah pun meledak 15 jaringan buat Lion City Sailors dalam 25 penampilan dan membuat 10 bantuan gol menjadikan kelibat penyerang berusia 33 tahun ini wajar diawasi.

5- Bart Ramselaar

Jeneral tengah Lion City Sailors ini beraksi dalam dua aksi awal peringkat kumpulan sebelum ini dan bermain cukup baik meskipun keputusan perlawanan tidak memihak jaguh Singapura ini.

Khidmat Ramselaar bagaimanapun bakal kekal ditagih oleh Lion City Sailors berbekalkan kebolehan untuk menyerang dan mencari ruang untuk menjaringkan gol, memberi amaran awal buat KL City.

Aksi Lion City Sailors vs KL City bakal diadakan pada Khamis, 9 Januari dengan sepak mula dijadualkan jam 7.45 malam di Stadium Jalan Besar, Singapura.