Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan cabaran hebat dari jaguh-jaguh di rantau Asia Tenggara musim hadapan.
Setelah dinobatkan selaku juara Liga Super kali ke-12, JDT akan mengorak langkah sekali lagi di pentas ASEAN Club Championship (ACC) Shopee Cup musim hadapan sebagai salah satu wakil Malaysia bersama Kuching City.
Penyertaan kali kedua dalam saingan Shopee Cup kali ini menyaksikan JDT diundi di dalam kumpulan maut bersama kelab-kelab juara liga rantau Asia Tenggara seperti Persib Bandung dari Indonesia dan wakil Singapura, Lion City Sailors.
Malah, juara Liga Vietnam, Cong An Ha Noi dan PKR Svay Rieng dari Kemboja juga diundi di dalam kumpulan B ini bersama skuad Harimau Selatan selain pasukan naib juara Thai League 1 pada musim lalu iaitu Port FC.
JDT juga akan berdepan cabaran pemenang play-off 2 di dalam kumpulan sama iaitu sama ada juara Liga Laos, Ezra atau juara Liga Myanmar, Shan United yang bakal turun bagi merebut satu slot ke peringkat kumpulan ACC Shopee Cup.
Sebagai rekod, JDT berjaya mara ke peringkat separuh akhir ACC Shopee Cup musim lalu sebelum tersingkir di tangan juara 2 kali, Buriram United dengan keputusan 4-3.