Berita perpindahan bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin ke Liga Super Malaysia dijangka telah selesai.
Baru-baru ini, pemain berusia 23 tahun itu memberi bayangan mengenai masa depannya selepas hampir 5 tahun berkelana di luar negara.
Tonggak KV Kortrijk di Belgium ini menghabiskan sebahagian besarnya di sana sebelum dipinjamkan ke Iceland dan Jepun baru-baru ini.
“Saya sekarang ini beraksi di Yokohama SCC secara pinjaman dan selepas habis ni saya akan pulang ke Belgium bersama KV Kortrijk.
“Kontrak saya akan tamat di Belgium bulan 5 tahun 2025. InsyaAllah, kita tunggu rezeki mana yang sampai,” jelasnya ketika menjalani sesi latihan secara persendirian di Hitfat.
Persaingan sengit di Jepun bersama kelab J3 League, Yokohama SCC menyaksikan beliau kembali ke pangkuan KV Kortrijk dengan kontraknya bakal tamat pada bulan Mei ini.
Ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif KV Kortrijk, Amin Fuad memberi bayangan bahawa proses perpindahan penyerang Malaysia B-23 itu untuk pulang ke Malaysia sudah selesai.
“Sudah selesai,” ujarnya menerusi satu ciapan di laman X.
Beliau merupakan pemain Selangor FC pada Mac 2020 sebelum akhirnya memutuskan untuk membawa haluan ke Eropah.
Luqman telah pun meninggalkan Yokohama SCC pada bulan Disember 2024 dan pulang ke Belgium namun tiada sebarang perkembangan lanjut tentang aksinya di sana.