Aksi kelima AFC Champions League 2 (ACL2) membabitkan Selangor vs Muangthong United bakal diserikan lagi dengan kehadiran 5 tonggak tumpuan.
Setelah tumbang kepada Jeonbuk, Selangor berdepan misi penting meraih tiga mata dalam aksi bertemu Muangthong United untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati lebih awal.
Walau bagaimanapun, cabaran besar menanti Gergasi Merah dengan Muangthong United kini berada di dalam momentum terbaik setelah mencatat kemenangan dalam kesemua 4 aksi terakhir.
Di sebalik kehangatan aksi tumpuan membabitkan Selangor vs Muangthong United ini, seramai 5 pemain utama kedua-dua pasukan bakal menjadi tumpuan.
1- Mohammad Abualnadi
Walaupun Katsuhito Kinoshi masih belum memiliki bayangan kesebelasan utama, namun berdasarkan pemerhatian, corak permainan dengan tiga pertahanan dijangka menjadi pilihan Katsuhito Kinoshi.
Oleh itu, Mo Abualnadi berkemungkinan besar akan menjadi tunjang di barisan belakang Selangor bersama Harith Haiqal dan Umar Eshmurodov bagi mengekang asakan Muangthong United.
2- Yohandry Orozco
Ketiadaan Orozco akibat penggantungan ketika di Jeonbuk jelas memberi impak besar untuk menggerak dan menjana serangan Selangor yang tampak kehilangan idea di bahagian tengah.
Dengan kehadiran semula Orozco ini, sudah pasti memberi kelegaan buat Katsuhito Kinoshi untuk merangka strategi terbaik untuk membentuk gandingan tengah yang mantap.
3- Ronnie Fernandez
Dengan kehadiran pengendali baharu Selangor, sudah pasti bakal memberi aura baru buat Ronnie untuk mempamerkan taring sebenar dalam usaha memikat hati Katsuhito Kinoshi.
Khidmat Ronnie dijangka bakal menjadi taruhan penting buat The Red Giants di bahagian hadapan memandangkan bekas pemain Al-Nasr ini meledak 1 gol ketika aksi di Bangkok lalu.
4- Tristan Do
Para pemain Selangor perlu tampil kreatif dalam mendepani cabaran pertahanan Muangthong United yang diketuai oleh bek kental Thailand, Tristan Do terutamanya di posisi kanan.
Tristan Do ini sememangnya watak penting untuk pasukan kendalian Gini Lettieri apabila menjadi satu-satunya pemain yang beraksi dalam kesemua aksi ACL2 tanpa dibawa keluar.
5- Felicio Brown
Tugas untuk meledak jaringan buat Muangthong sudah pasti terletak di bahu Felicio Brown apabila bekas pemain Rostov ini sering menjadi pilihan sekaligus menjadi ancaman kepada Selangor.
Statistik menunjukkan penyerang ini telah menyumbang 3 jaringan di pentas ACL2 untuk muncul penjaring terbanyak pasukan bersama seorang lagi pemain serangan, Poramet Arjvirai.
Aksi Selangor vs Muangthong United akan berlangsung pada Khamis, 28 November di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dengan sepak mula tepat jam 8 malam.