Advertisements
ACL2: Jeonbuk Hyundai Leburkan Rekod Kebal Selangor Di Asia
ACL
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC mempamerkan semangat juang tinggi sebelum kecundang 1-0 kepada Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Jeonbuk yang juga bekas juara ACL berharap dapat menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan. Sementara Selangor mahu meneruskan momentum kemenangan selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA FC) 1-0.

Nana Boateng, Tiago dan Lee Seung-woo jadi pilihan Kim Do-heon untuk memperkuat kesebelasan utama Jeonbuk. Manakala Ronnie Fernandez, Ali Olwan dan Alvin Fortes menjadi sandaran gol pengendali Selangor, Abdi Hassan.

Separuh masa pertama menyaksikan Jeonbuk berusaha mencari kelebihan gol awal dengan sokongan penyokong di Stadium Piala Dunia Jeonju.

Anak buah Do-heon berdepan kesukaran untuk menembusi pertahanan Selangor yang menggunakan formasi 5-4-1. Lima pertahanan diketuai kapten, Harith Haiqal Adam Afkar berusaha menutup setiap ruang dalam kotak penalti.

Tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-22 untuk membuka tirai jaringan menerusi Tiago. Bekas penyerang Al-Jabalain itu mudah menanduk bola yang menewaskan penjaga gol The Red Giants, Azim Al Amin Kamaruddin.

Lima minit selepas itu, Kwon Chang-hoon hampir menggandakan kelebihan Jeonbuk. Malangnya, rembatan bekas pemain sayap Dijon itu berjaya diselamatkan Azim.

Selangor hampir menyamakan kedudukan menerusi Ali pada minit ke-36. Penyerang Jordan itu hampa kerana rembatannya berjaya dinafikan penjaga gol Jeonbuk, Kim Jung-hoon.

The Red Giants terus berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Do-heon memasukkan penjaring terbanyak pasukan itu, Song Min-kyu dengan tujuan menambah sengat serangan Jeonbuk.

Selangor terus memberi tekanan ke arah kubu pertahanan tuan rumah. The Red Giants hampir menyamakan kedudukan menerusi Fernandez pada minit ke-60 tetapi rembatannya terkena palang.

Do-heon pantas memasukkan dua lagi pemain gantian Jeonbuk untuk mengubah kembali momentum perlawanan. Yu Je-ho dan Jin Tae-ho masuk menggantikan Lee Soo-bin dan Lee Seung-woo.

Manakala Abdi pula bertindak mengeluarkan Nikola Jambor dan memasukkan Mukhairi Ajmal Mahadi untuk menambah kreativiti di bahagian tengah.

Chang-hoon hampir menambah gol kedua Jeonbuk pada minit ke-70. Rembatan jarak jauh bekas pemain sayap Freiburg itu berjaya digagalkan Azim.

Selangor terus memburu gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Jeonbuk merampas kedudukan pertama Kumpulan H dengan sembilan mata.

Sofascore mengiktiraf sumbangan Chang-hoon dengan memilihnya sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau mendapat markah 7.6, 0.1 mata di hadapan Ali.

Selepas ini, Jeonbuk bakal berdepan Daegu FC pada 10 November. Manakala Selangor pula bersedia untuk pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia 2024/25 yang akan bermula pada akhir November ini.