Penolong jurulatih Muangthong United, Uthai Boonmoh percaya pasukan itu dapat mencuri tiga mata bila berdepan Selangor dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Muangthong kini berdepan misi hidup mati dalam Kumpulan H. Ini kerana selepas mengharungi empat perlawanan, pasukan itu hanya mengutip lima mata, dua mata terpisah dengan Selangor.
Ini berbeza dengan Selangor yang kini berada di tempat kedua selepas meraih tujuh mata. Selangor meraih dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan dalam Kumpulan H.
Justeru, Uthai melihat kemenangan ke atas Merah Kuning amat penting sekiranya The Kirins mahu layak ke pusingan seterusnya.
“Perlawanan esok (menentang Selangor) cukup penting bagi kita. Semua pemain sudah bersedia dan memiliki keyakinan yang bagus. Mereka sedar ini perlawanan yang besar buat kita. Kita perlu menang esok,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Uthai turut memaklumkan The Kirins sudah bersedia untuk mencabar Selangor. Ini kerana semua pemain Muangthong bebas daripada masalah kecederaan.
“Tiada pemain yang mengalami kecederaan untuk perlawanan esok. Esok, kita akan datang ke sini (Stadium MBPJ) dan mengutip tiga mata penuh,” tambahnya.
The Kirins berharap dapat membawa momentum kemenangan dalam empat perlawanan semua kejohanan untuk merealisasikan usaha tersebut.
Selangor dan Muangthong berentap dalam aksi pertama Kumpulan H di Bangkok pada 9 September lalu. Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
The Kirins bakal berdepan Selangor di Stadium MBPJ pada 28 November ini. Selangor dijangka tampil berbeza selepas membawa masuk bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan Serbia, Katsuhito Kinoshi.