Pengendali baharu Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mengakui teruja dapat bekerja dengan pemain-pemain berbakat pasukan itu.
Jurulatih Jepun berusia 60 tahun itu diumumkan sebagai jurulatih baharu Merah Kuning pada 23 November lalu. Kinoshi dipilih menggantikan pengendali sebelumnya, Nidzam Jamil.
Pengumuman tersebut turut menamatkan spekulasi siapa yang bakal mengisi kerusi panas pasukan gergasi Lembah Klang itu.
Kinoshi mengakui cukup bertuah kerana dapat bekerjasama dengan ramai pemain berbakat Merah Kuning. Bekas jurulatih Nagoya Grampus itu berharap dapat membentuk barisan anak buah barunya menjadi satu pasukan yang sentiasa dahagakan kemenangan.
“Saya merasa terhormat untuk menyertai Selangor FC dan saya teruja untuk bekerja dengan pemain-pemain berbakat di sini.
“Bersama-sama, kami akan berusaha untuk membina sebuah pasukan yang bukan sahaja kukuh dari segi taktikal, tetapi juga penuh dengan semangat dan tekad untuk berjaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum memilih menyertai Selangor, Kinoshi menggalas peranan sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan Serbia. Beliau menjadi pembantu Dragan Stojkovic dari 2021 hingga November 2024.
Kinoshi juga bertuah kerana berpeluang berguru dengan beberapa jurulatih terkemuka dunia seperti Stojkovic, Akira Nishino dan Giovanni van Bronckhorst.