Advertising
6 Tonggak Import Ketuai Cabaran Sri Pahang
MakanBola
Sri Pahang FC

Sri Pahang FC sah akan menggunakan enam pemain import untuk kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.

Sebelum ini, Sri Pahang dilaporkan bakal menggunakan pemain import ketujuh. Ini selepas pasukan dari Pantai Timur itu dikaitkan dengan perpindahan penjaga gol Lion City Sailors, Izwan Mahbud atau seorang penjaga gol Uzbekistan.

Ad

Khabar angin perpindahan ini timbul selepas pasukan yang diberi jolokan Tok Gajah itu kehilangan khidmat bekas penjaga gol kebangsaan, Izham Tarmizi Roslan.

Ad

Izham memilih untuk kembali bersama pasukan gergasi selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).

Walau bagaimanapun, perancangan itu dibatalkan oleh pengurusan Sri Pahang. Sebaliknya, slot penjaga gol ketiga pasukan itu diisi oleh penjaga gol Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Wan Mohd Syazmin Wan Rozaimi.

Ad

Wan Mohd Syazmin menyertai Sri Pahang dengan kontrak pinjaman secara semusim. Penjaga gol berusia 24 tahun itu akan bersaing dengan Zarif Irfan Hashimuddin dan Azfar Arif Sukri untuk slot penjaga gol utama.

Ad

Dengan tetingkap perpindahan pertama liga ditutup pada 3 Mei lepas, Sri Pahang bakal memanfaatkan kudrat enam pemain import.

Ad

Tok Gajah mengekalkan trio import musim 2023 untuk kempen musim ini. Mereka ialah Stefano Brundo, Kuvondik Ruziev dan Kpah Sherman.

Manakala trio import baru Sri Pahang untuk musim 2024/25 ialah Alexander Cvetkovic, Mykola Agapov dan Manuel Hidalgo.

Menariknya, ini kali kedua Hidalgo bersama Sri Pahang. Sebelum ini, pemain sayap Argentina itu pernah bersama Sri Pahang pada musim 2022 sebelum memilih bersama Kedah untuk musim 2023.

Selepas kontraknya bersama Sang Kenari tidak disambung, beliau menyertai JDT semasa pra-musim 2024/25.

Harimau Selatan kemudiannya meminjamkan pemain berusia 25 tahun itu kepada Tok Gajah dengan kontrak pinjaman selama semusim.

Selain enam tonggak import, Sri Pahang turut diperkuatkan ramai pemain tonggak tempatan baharu.

Antaranya bekas pemain sayap KL City FC, T. Saravanan, bekas bek tengah JDT II, Adam Nor Azlin dan bekas pemain tengah Penang FC, Asnan Ahmad.

Sri Pahang yang dibimbing jurulatih Singapura, Fandi Ahmad bakal membuka cabaran Liga Super dengan menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC). Perlawanan itu bakal berlangsung di Temerloh pada 11 Mei ini.