Pasukan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah pastinya bakal menjadi tumpuan penyokong di serata dunia terutamanya di Asia menjelang sepak mula Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Pemilihan pasukan Harimau Selatan itu sebagai tuan rumah oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi saingan Kumpulan I dalam kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang bakal menyingkap tirainya dari 15 April hingga 1 Mei depan dilihat sebagai satu peluang untuk mengembangkan lagi nama JDT di persada Asia.
Oleh yang demikian, Makanbola telah pun menyenaraikan 7 kemudahan berkelas dunia yang ditawarkan oleh Stadium Sultan Ibrahim yang mampu untuk menjulang nama Malaysia di peringkat asia.
1. Lokasi Stadium Sultan Ibrahim Yang Strategik.
Lokasi pembinaan stadium dilihat menjadi faktor utama yang mampu untuk menaikkan lagi nama Malaysia adalah disebabkan ianya terletak di bandar Iskandar Puteri, Johor Bharu.
Ini juga merupakan satu prospek terbaik kerana terletak di bandar utama negeri Johor sekaligus mampu untuk menjadi daya penarik utama buat pelancong yang datang ke Johor.
Selain itu, setelah secara rasminya stadium ini dibuka buat para penonton bermula 1 April yang lalu selain pembukaan lebih banyak restoran dan kedai komersil dijangka bakal menyusul dalam masa terdekat.
Bukan itu sahaja, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi membuktikan mereka berada pada kelas tersendiri apabila venue rasmi mereka iaitu Stadium Sultan Ibrahim dipilih sebagai ‘Stadium Of The Year 2020’.
Kini, JDT sekali lagi mendominasi dan menjana pendapatan apabila mereka telah pun memperkenalkan konsep jelajah di sekitar stadium dengan menaiki Hummer Tour kepada orang ramai.
Perkhidmatan yang disediakan pada hari Jumaat hingga Ahad pada jam 9 pagi sehingga 6 petang itu bakal dibuka dengan bayaran serendah RM 30 setiap orang.

2. Stadium SSI Yang Terletak Dalam Bandaraya Sukan.
Kedudukan Stadium Sultan Ibrahim yang berada dalam kawasan bandaraya sukan JDT mampu untuk menjadi tarikan utama para pengunjung di serata Asia.
Bukan itu sahaja, baru-baru ini pasukan milik Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor (TMJ) ini telah pun mengumumkan bahawa pembinaan projek ini merangkumi stadium, pusat latihan, hotel dan juga pusat komersial yang terletak di kawasan Iskandar Puteri.
Keluasan pembinaan sekitar 50 ekar ini menjadi pusat latihan terbesar di Malaysia yang merangkumi 9 padang, gimnasium, kolam renang, pusat pemulihan, auditorium dan banyak lagi kemudahan buat para pemain dan pengunjung.
Pembinaan pusat latihan ini juga dijangka bakal memanfaatkan penduduk sekitar menerusi peluang pekerjaan yang boleh diwujudkan terutamanya dalam bidang pengurusan sukan kompleks, perhotelan, perubatan dan banyak lagi yang berkaitan.
3. Fasiliti dan prasarana stadium yang berkelas dunia.
Seperti yang sudah pun diketahui umum bahawa stadium kebanggaan penyokong Harimau Selatan ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan juga prasarana yang berkelas dunia.
Stadium yang dibina dengan kos mencecah hampir 200 juta ringgit ini telah menyediakan pelbagai kemudahan. Menurut satu tinjauan yang dilakukan oleh beberapa orang yang telah pun hadir ke Stadium Sultan Ibrahim, rata-rata mereka amat berpuas hati dengan kemudahan yang ada di sana.
Tambah mereka, pengalaman berada dalam stadium tersebut amatlah baik kerana perjalanan dari mula masuk ke dalam stadium digambarkan dengan keadaan yang sangat teratur dan urusan untuk ke bangku masing-masing juga amat lancar.
Bahkan, perkara yang paling menarik bagi mereka adalah keadaan bangku penonton yang amat selesa berbanding di stadium lain. Malah, ia juga mewujudkan suasana yang selesa disebabkan penonton tidak berasa sakit apabila duduk terlalu lama di bangku semasa menonton perlawanan.

4. Kemudahan Tempat Menjamu Selera Yang Kondusif Dan Selesa.
Jika para penonton datang ke Stadium Sultan Ibrahim, anda akan dapat melihat antara salah satu tarikannya ialah kemudahan tempat makan yang bertaraf lima bintang. Di sana, para penyokong yang hadir boleh mendapatkan burger yang premium dan tidak boleh ditemui di stadium-stadium lain.
Jenama yang berasal daripada Johor ini terkenal dengan patty yang menarik dan juicy. Ditambah lagi dengan saiz yang besar dan rasa yang sedap, ia pasti menjadi perhatian para pengunjung untuk merasai burger premium di dalam stadium.
Pembukaan restoran Woodfire ini pastinya menjadi daya tarikan peminat bola sepak tempatan untuk mengunjungi dan menikmati waktu-waktu indah menikmati burger di dalam stadium.
Restoran yang dibuka bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam ini pastinya memberi peluang dan ruang buat para pengunjung untuk datang setiap hari ke stadium bagi mendapatkan burger yang lazat ini.

5. Laungan Azan Dalam Stadium Sultan Ibrahim.
Antara salah satu keunikan stadium keramat JDT ini berbanding stadium lain adalah dengan terdapatnya laungan azan yang bergema di dalam kawasan stadium.
Laungan azan ini mula disedari oleh rata-rata penyokong selain meraih perhatian ramai pada perlawanan Piala Sumbangsih awal tahun ini yang berlangsung di sana.
Ketika itu, azan yang menandakan masuknya waktu solat fardu Maghrib itu telah memudahkan para penonton untuk mengetahui waktu solat ketika berada di stadium.
Bukan itu sahaja, penyokong yang hadir juga boleh mendirikan solat di surau yang telah pun disediakan dalam stadium sebelum menyaksikan perlawanan.

6. Pengangkutan Shuttle Bus Secara Percuma.
Inisiatif yang diambil oleh pasukan JDT ini merupakan satu nilai tambah kepada para penyokong yang hadir ke stadium. JDT telah pun menyediakan pengangkutan iaitu servis Shuttle Bus yang bermula dari Hutan Bandar MBIP, Taman Mutiara Rini terus ke Stadium Sultan Ibrahim pada hari perlawanan.
Ini juga bakal meminimumkan kadar kenderaaan yang masuk ke perkarangan kawan stadium sekaligus mengelakkan kesesakan di sekitar stadium semasa hari perlawanan.
Perkhidmatan ini disediakan bermula jam 4 petang sehingga 8:30 malam selain turut disambung pada jam 10:30 malam sehingga 12:30 malam dari Stadium Sultan Irahim ke Hutan Bandar MBIP, Taman Mutiara Rini.
Sebaik sahaja pintu pagar stadium dibuka pada jam 6 petang, para penonton boleh terus menuju ke lokasi menerusi pengangkutan yang disediakan.

7. Menjadi Pusat Latihan (Hub) Buat Kelab Luar Negara
Antara salah satu faedah yang diperoleh hasil daripada pembinaan pusat latihan serba canggih ini ialah JDT berpeluang untuk menjana pendapatan daripadanya.
Pusat latihan ini boleh menarik pasukan-pasukan dari luar negara yang datang ketika lawatan pra-musim untuk menjalani latihan di sini.
Dengan adanya pusat latihan dengan fasiliti yang serba lengkap dan stadium bertaraf dunia, sudah pasti JDT bakal menjadi kelab tumpuan sekaligus menjadi destinasi utama bagi kelab-kelab Eropah ketika datang ke benua Asia Tenggara.
7 kemudahan bertaraf dunia yang telah disenaraikan ini menjadi tarikan utama buat para pengunjung terutamanya para pelancong yang datang ke Johor.
Ini juga bakal menjulang nama Malaysia khususnya negeri Johor dan pasukan JDT untuk terus berusaha menjadi gergasi di Asia.
