7 Pemain Kacukan & Naturalisasi Bakal Perkuat Harimau Malaya

Syafiq Freman
@syafiqfreman
1:20pm 17/02/2020

Hasrat rakyat Malaysia untuk melihat skuad Kebangsaan berada di kedudukan terbaik Asia kini semakin menjadi kenyataan apabila seorang demi seorang pemain naturalisasi mula diterima FIFA.

Sebelum ini Sumareh dengan segera menambat hati rakyat Malaysia dengan aksi bertenaga dan jaringan-jaringan penting Harimau Malaya, kini giliran pemain tinggi lampai Kosovo, Liridon Krasniqi pula untuk membuktikannya.

Liridon kini sah layak beraksi bersama Harimau malaya.

Liridon telah sah diterima FIFA untuk beraksi bersama Harimau Malaya dan ini bermakna, pemain kelahiran Kosovo itu layak beraksi menentang United Arab Emirates.

Malaysia sudah memiliki 3 pemain kacukan ‘regular’ iaitu Matthew Davies (pertahanan kanan), Corbin-Ong (pertahanan kiri), Brendan Gan (tengah), dan seorang pemain naturalisasi dari Gambia, Sumareh (penyerang).

Kini giliran Liridon (tengah) pula untuk membuktikan kemampuannya bersama skuad Harimau Malaya.

Penyerang Kuala Lumpur, Guilherme de Paula pula kini hanya menunggu beberapa hari saja lagi untuk diketahui statusnya untuk beraksi bersama anak didik Tan Cheng Ho yang lain.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pemain itu hanya perlu menunggu beberapa hari lagi bagi mengetahui statusnya sama ada boleh bermain untuk Malaysia atau sebaliknya.

Beliau berkata, sememangnya ada kelewatan membabitkan dokumentasi menyebabkan status pemain terbabit sehingga kini masih lagi menjadi tanda tanya.

“Namun, kita positif segala halangan terbabit dapat diatasi dengan statusnya akan diumumkan penghujung bulan ini. Kemungkinan dia juga boleh beraksi bersama skuad kebangsaan untuk pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

“Perkara terbabit bukan mudah kerana ia perlu memenuhi segala permintaan Fifa, namun kita komited menyediakan apa jua dokumen diperlukan mereka,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Selain 6 pemain ini, Malaysia juga menerima berita gembira dengan status kecerdasan Ignacio ‘Natxo’ Insa Bohigues yang semakin pulih.

Natxo Insa sempat beraksi cemerlang apabila dimasukkan lewat permainan ketika JDT menentang Vissel Kobe di Jepun dan ini memberikan Tan Cheng Ho lebih banyak pilihan berkualiti untuk skuad negara menghadapi baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.

Kederdasan Natxo Insa kini ditahap terbaik setelah mengalami kecederaan serius pada tahun 2018.

Boleh dikatakan gandingan 7 pemain ini bersama-sama pemain muda asal Malaysia seperti Safawi Rasid dan Shafiq Ahmad bakal memberikan kekuatan luar biasa buat Malaysia.