7 Pemain Warisan Boleh Kembali Wakili Harimau Malaya? Ini Penjelasan AFC
MakanBola
Malaysia NT

Status berhubung tujuh pemain warisan Harimau Malaya untuk kembali bersama pasukan kebangsaan dijawab oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Perkara ini dijawab oleh Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John pada sesi sidang media selepas mesyuarat Eksekutif Khas Kali Ke-5 FAM, 2025-2029 di Wisma FAM, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa AFC masih lagi menanti butiran penuh daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung perkara ini.

“Setakat ini, AFC masih berhubung dengan FIFA untuk mendapatkan butiran penuh tentang keputusan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Ini selepas kami hanya menerima satu surat ringkas dari FIFA tentang status tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang boleh kembali beraksi,” katanya.

Datuk Seri Windsor juga memberitahu bahawa status tujuh pemain warisan untuk menyarung kembali jersi Harimau Malaya masih tergantung.

“Apa yang kita pasti, tujuh pemain ini boleh kembali beraksi bersama kelab masing-masing.

“Namun begitu, kita masih menanti pencerahan penuh daripada FIFA sama ada mereka boleh bersama pasukan kebangsaan atau tidak,” tambah kenyataannya.

Beliau bersama seorang lagi wakil AFC dikesan turut bersama menyertai mesyurarat akhir selepas kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM meletak jawatan.