Barisan Exco FAM Letak Jawatan
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) bagi penggal 2025–2029 telah meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela dengan serta-merta dalam satu keputusan yang dibuat secara sebulat suara.

Menurut kenyataan media FAM, keputusan itu diambil dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi tanpa sebarang kepentingan atau jawatan peribadi, susulan situasi semasa yang telah menarik perhatian umum serta memberi kesan terhadap landskap bola sepak negara.

Jawatankuasa Eksekutif menegaskan bahawa langkah tersebut merupakan satu tindakan berhemah dan berprinsip, selain mencerminkan tanggungjawab bersama bagi melindungi integriti FAM sebagai badan induk bola sepak Malaysia.

Peletakan jawatan itu turut bertujuan untuk menjaga reputasi serta kepentingan FAM, di samping mengurangkan risiko yang berpotensi menjejaskan bola sepak Malaysia secara keseluruhan sekiranya situasi semasa berlarutan.

Selain itu, Exco FAM menjelaskan bahawa tindakan tersebut juga selari dengan prinsip tadbir urus yang baik dan akauntabiliti, khususnya dalam keadaan di mana keyakinan awam terhadap institusi bola sepak negara perlu dipelihara dan dipulihkan.

Keputusan berkenaan turut membuka ruang kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menilai, menyemak serta, jika perlu, menangani sebarang perkara berkaitan tadbir urus dan pentadbiran dalaman FAM tanpa sebarang gangguan atau persepsi konflik kepentingan.

Dalam kenyataan sama, Jawatankuasa Eksekutif menegaskan bahawa peletakan jawatan ini menunjukkan komitmen bahawa khidmat kepada bola sepak Malaysia lebih utama berbanding tempoh jawatan, walaupun mereka telah diberikan mandat selama empat tahun dan hanya berkhidmat selama 11 bulan sejak dipilih bagi penggal 2025–2029.

Langkah drastik itu juga bertujuan untuk memastikan sebarang pembaharuan yang perlu dilaksanakan dapat dijalankan dengan asas kepercayaan yang tinggi, sekali gus membantu memulihkan keyakinan penyokong, pihak berkepentingan, rakan kongsi serta komuniti bola sepak secara keseluruhan.

Walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan, Jawatankuasa Eksekutif FAM menegaskan komitmen untuk terus memberikan kerjasama penuh kepada FIFA, AFC serta semua pihak berkepentingan yang relevan, demi kepentingan jangka panjang bola sepak Malaysia.

Claim Money Packet TnG