8 Pemain Tunisia Dilaporkan Positif Doping
MakanBola
FTF

Dadah jenis clenbuterol dikesan dalam ujian dadah rawak membabitkan lapan pemain Tunisia.

Portal Metro melaporkan dadah itu dikesan dalam ujian dadah rawak yang dijalankan dalam Piala Dunia. Ujian doping membabitkan lapan pemain Tunisia dikesan mengandungi clenbuterol.

Clenbuterol ialah sejenis dadah yang digunakan untuk merawat penyakit lelah. Meskipun begitu, ia diharamkan Agensi Anti-Doping Sedunia (WADA) kerana ia boleh digunakan untuk membakar lemak dan menjadikan otot lebih mantap.

Identiti lapan pemain tersebut tidak didedahkan. Ini kerana pegawai Persekutuan Bola Sepak Tunisia (FTF) percaya ini berlaku disebabkan mereka makan daging tercemar ketika berpangkalan di Monterrey, Mexico.

Kes pemain Tunisia ini mirip dengan kes jaguh tinju Mexico, Saul ‘Canelo’ Alvarez. Pada tahun 2018, Alvarez digantung selama enam bulan selepas clenbuterol dikesan dalam ujian doping beliau.

Canelo Alvarez 8 Pemain Tunisia Dilaporkan Positif Doping
Canelo Alvarez turut terkesan dengan isu daging tercemar selepas menjalani penggantungan selama enam bulan pada 2018. Sumber: Facebook/Canelo Alvarez.

Jaguh berusia 35 tahun itu percaya perkara itu berlaku disebabkan beliau makan daging tercemar ketika berada di Mexico. Ini kerana Alvarez tahu petani Mexico menggunakan clenbuterol sebagai bahan makanan untuk haiwan ternakan.

Selepas selesai menjalani penggantungan berkenaan, juara dunia tinju itu memutuskan untuk tidak lagi makan daging setiap kali berada di negaranya itu.

“Ia satu kesilapan dan itu saja, tidak mendidik diri saya tentang masalah ini di Mexico. Ini kesilapan saya dan saya takkan ulanginya,” kata Alvarez selepas selesai menjalani penggantungan.

Isu sama juga dikesan semasa Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) 2011. 109 daripada 208 sampel ujian doping yang dijalankan mengandungi clenbuterol.