Sembilan lawan handalan bakal menanti Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk program pramusim 2026/27.
Ini selepas pengurusan Harimau Selatan mengumumkan senarai sembilan aksi pramusim yang akan diharungi anak buah Xisco Munoz semasa berada di Alicante, Sepanyol.
Antara lawan JDT untuk pramusim ialah kelab gergasi Scotland, Rangers, kelab LaLiga, Elche, kelab Saudi Pro League (SPL), Al-Ettifaq, kelab Qatar, Qatar SC dan FC Cartagena.
Costa City, UD Castellonense, CD Contestano dan pasukan Persatuan Pemain Bola Sepak Sepanyol (AFE) melengkapkan senarai sembilan pasukan yang akan dihadapi JDT.
JDT akan membuka tirai pramusim dengan menentang Rangers pada 16 Julai. Ini disusuli aksi menentang Al-Ettifaq dan Contestano pada 19 dan 20 Julai.
Elche dan Castellonense pula masing-masing akan menentang Harimau Selatan pada 24 dan 25 Julai. Costa City dan pasukan AFE pula akan menjadi lawan berikutnya pada 27 dan 28 Julai.
Qatar SC dan Cartagena menjadi penutup program pramusim JDT di Sepanyol menerusi aksi pada 30 dan 31 Julai ini. Ini akan disusuli aksi persahabatan menentang juara Piala Dunia Kelab 2025, Chelsea pada 9 Ogos ini.
Daripada sembilan pasukan, Costa City akan berdepan JDT buat kali kedua. Aksi pramusim pada 2025 itu menyaksikan anak buah Munoz meraih kemenangan tipis 1-0.
Rangers bakal menjadi ujian awal buat JDT. Bekas juara Scottish Premiership 2020/21 itu bakal menampilkan ramai tonggak antarabangsa seperti penjaga gol Croatia, Ivor Pandur, penyerang Scotland, Lawrence Shankland dan bekas penyerang Everton, Youssef Chermiti.
Program pramusim ini bertujuan membantu JDT mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M), Shopee Cup dan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim 2026/27.