Tarikh Aksi Chelsea vs JDT Dipinda
MakanBola
TEG Sport

Tarikh perlawanan persahabatan pramusim membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Chelsea yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada bulan Ogos ini telah dipinda.

Sebelum ini, aksi berprofil tinggi tersebut dijadualkan berlangsung pada 11 Ogos, namun kedua-dua pasukan mengesahkan perlawanan itu kini akan diadakan lebih awal iaitu pada 9 Ogos.

Chelsea mengesahkan perkara tersebut menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman sesawang kelab itu pada Selasa.

Menurut Chelsea, perubahan tarikh tersebut dipersetujui bersama oleh kedua-dua kelab bagi membantu aspek penjadualan serta persiapan menjelang kempen musim 2026/27.

“Tarikh perlawanan pramusim pasukan lelaki kami menentang Johor Darul Ta’zim telah dipinda.

“Pada asalnya dijadualkan berlangsung pada Selasa, 11 Ogos, aksi terakhir jelajah pramusim Chelsea 2026 kini akan dimainkan pada Ahad, 9 Ogos, jam 8 malam waktu Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim.

“Perubahan ini dipersetujui bersama oleh kedua-dua kelab bagi membantu urusan penjadualan dan persiapan menjelang musim 2026/27,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, Chelsea turut memaklumkan penyokong yang telah membeli tiket tidak perlu membuat sebarang pertukaran kerana tiket sedia ada masih sah digunakan untuk tarikh baharu tersebut.

Perlawanan itu dijangka menjadi antara aksi paling dinantikan peminat bola sepak tempatan apabila juara Liga Super Malaysia, JDT bakal menguji kemampuan menentang gergasi Liga Perdana Inggeris tersebut di hadapan penyokong sendiri.

Sebelum ini, JDT telah mengumumkan kehadiran Chelsea ke Stadium Sultan Ibrahim sebagai sebahagian daripada persiapan pramusim kelab dari London itu menjelang kempen baharu.