JDT & Chelsea Berentap Di SSI Ogos Ini
MakanBola
TEG Sport

Aksi bersejarah bakal berlangsung di bumi Johor apabila juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim FC sah akan menentang gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Ogos ini.

Perlawanan yang diumumkan oleh TEG Sport dan Johor Southern Tigers itu dijadual berlangsung pada 11 Ogos 2026 jam 8 malam di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Aksi tersebut dijangka menjadi antara perlawanan terbesar pernah dianjurkan di Malaysia apabila Harimau Selatan bakal membawa cabaran negara menentang juara semasa Piala Dunia Kelab FIFA itu di hadapan ribuan penyokong sendiri.

Pertemuan itu juga menjadi sebahagian daripada persiapan pra-musim Chelsea menjelang kempen musim 2026/27 selain memberi peluang buat JDT menguji kemampuan mereka menentang salah satu kelab elit Eropah.

Chelsea yang ditubuhkan pada tahun 1905 merupakan antara kelab paling berjaya di England dan Eropah dengan koleksi trofi yang mengagumkan termasuk Liga Juara-Juara UEFA, Liga Europa UEFA, Liga Perdana Inggeris dan Piala FA.

Kelab London itu juga bakal memulakan era baharu di bawah kendalian Xabi Alonso yang diumumkan sebagai pengurus baharu pasukan menjelang musim baharu.

Sementara itu, JDT terus membuktikan dominasi mereka dalam arena bola sepak tempatan apabila berjaya menjulang 12 kejuaraan Liga Super berturut-turut selain turut mencipta sejarah di pentas Asia menerusi kejayaan menjuarai Piala AFC sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia menyifatkan perlawanan tersebut sebagai satu pencapaian besar buat kelab dan bukti peningkatan reputasi Harimau Selatan di peringkat Asia.

Menurutnya, Stadium Sultan Ibrahim bakal menjadi pentas kepada malam yang sukar dilupakan buat penyokong bola sepak tempatan.

Dalam masa sama, Pengarah Operasi Bola Sepak Chelsea, Pete Nuttall berkata, pihaknya teruja dapat kembali ke Malaysia buat kali pertama sejak tahun 2013 selain menganggap Asia Tenggara mempunyai kelompok penyokong yang amat luar biasa.

Pengarah Urusan TEG Sport, Rachael Carroll pula mengakui tidak sabar untuk merasai sendiri suasana bola sepak di Malaysia ketika aksi berlangsung nanti.

Untuk penjualan tiket, pra-jualan eksklusif bagi kelab penyokong Chelsea dan JDT akan dibuka pada 21 Mei 2026 jam 10 pagi sebelum jualan umum bermula pada 22 Mei 2026 jam 12 tengah hari.

Harga tiket bermula serendah RM154 sehingga RM1,254 bagi kategori VIP.