Pasangan beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka bakal menghuni kedudukan ranking kedua dunia.
Saingan Jelajah Dunia ketika ini sedang rancak berlangsung di Jakarta sempena BWF Super 1000 Indonesia Open 2025 bermula sejak 3 sehingga 8 Jun hadapan di Istora Senayan.
Beberapa wakil Malaysia turun bersaing kali ini termasuklah Aaron Chia-Wooi Yik yang hadir dengan momentum positif setelah beraksi 3 kali di final BWF Jelajah Dunia berturut-turut.
Aksi cemerlang itu membuatkan jurang Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking ke-3 dunia semakin mengecil dengan dua beregu di tangga atasan, Kim Astrup-Anders Rasmussen dan Izzuddin-Sze Fei.
Dengan kekalahan awal Kim Astrup-Anders Rasmussen kali ini menyaksikan mata yang diperoleh oleh beregu Denmark ini pada Indonesia Open tahun lalu telah pun dipotong dan gagal dipertahankan.
Maka, Aaron Chia-Wooi Yik yang tidak perlu pertahankan sebarang mata di Indonesia Open kali ini bakal memintas ranking Kim Astrup-Anders Rasmussen meskipun beregu negara ini turut tewas semalam.
Kiraan awal oleh laman Shuttlehard turut mengesahkan kemas kini ranking Aaron Chia-Wooi Yik yang akan naik sebagai beregu kedua dunia di belakang Izzuddin-Sze Fei.
Pengesahan rasmi oleh pihak BWF berkenaan kedudukan ranking pemain badminton akan dikemas kini pada Selasa hadapan, 10 Jun 2025.