Kedudukan ranking Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika ini makin hampir untuk mengejar beregu nombor satu dunia, Izzuddin-Goh Sze Fei.
Dua minggu lalu, satu kejayaan mengagumkan berhasil diraih oleh Nur Izzuddin-Goh Sze Fei apabila muncul selaku beregu nombor satu dunia setelah memintas kedudukan Kim Astrup-Anders Rasmussen.
Pencapaian ini meletakkan nama Izzuddin-Sze Fei setaraf 5 bekas beregu lelaki Malaysia yang pernah berada di ranking nombor satu dunia seperti Razif Sidek-Jalani Sidek dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong.
Manakala, satu lagi beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula berada di prestasi terbaik ketika ini setelah mara ke final dalam 4 kejohanan sebelum ini dengan 3 daripadanya meraih gelaran juara.
Aaron Chia-Wooi Yik berjaya membawa pulang gelaran juara di Badminton Asia Championship (BAC), Thailand Open dan yang terbaharu di kejohanan Singapore Open pada Ahad lalu.
Satu lagi final yang melibatkan Aaron Chia-Wooi Yik berakhir dengan kekalahan kepada rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun ketika saingan Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena.
Walaupun begitu kejayaan 3 juara dan satu gelaran naib juara ini mengukuhkan tempat Aaron-Wooi Yik dalam carta kemas kini ranking Badminton World Federation (BWF) pada Selasa.
Menerusi kemas kini tersebut, Aaron-Wooi Yik kini berada di ranking ke-3 dunia dengan mengumpul 89,870 mata tatkala dibezakan 541 mata dengan Kim Astrup-Anders Rasmussen di tangga kedua.
Izzuddin-Sze Fei pula masih berada di ranking pertama dunia ketika ini dengan mengutip 91,090 mata, tidak berapa jauh di hadapan Aaron Chia-Wooi Yik dan bakal menghangatkan lagi persaingan.
Minggu ini, aksi di Indonesia Open bakal menjadi tumpuan ramai khususnya melibatkan 3 beregu lelaki di kedudukan tertinggi ini untuk menyaksikan sebarang perubahan pada kemas kini ranking minggu hadapan.