Pasangan beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah menyenaraikan calon jurulatih bagi mengambil alih tempat Tan Bin Shen.
Minggu lalu, peminat badminton tanah air dikejutkan dengan berita perpisahan jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen bersama pasukan kebangsaan berkuat kuasa pada Januari hadapan.
Menurut Aaron, perpindahan jurulatih itu bagai lumrah dalam sukan dan sebagai pemain, beliau dan Soh Wooi Yik hanya perlu bersedia menerima tunjuk ajar daripada pelatih yang akan dilantik.
”Macam saya cakap, jurulatih datang dan pergi serta sering bertukar, kami cuma perlu meneruskan sahaja (latihan dan kejohanan),” kata Aaron kepada Astro Arena.
Dengan beberapa calon seperti Herry Iman dan Mathias Boe yang sedang hangat diperkatakan, Aaron jelaskan mereka bersedia dan tiada isu untuk berlatih dengan mana-mana jurulatih.
”Bagi saya, sesiapa sahaja boleh, dua-dua (Herry Iman dan Mathias Boe) pun boleh, jadi tiada masalah,” tambah atlet kelahiran Melaka itu lagi
“(Yang penting jurulatih baharu) boleh tolong sektor beregu lelaki, itu adalah matlamat utama buat kami dan juga boleh naikkan pasangan yang lain, bukan sahaja kami.”
Menurut laporan Stadium Astro, pasangan keenam dunia itu sudah pun menyerahkan beberapa nama calon kepada BAM untuk diteliti dan mengalas tugas besar mengemudi beregu lelaki negara.