Hasrat Bangkok United untuk terus mencatat kemenangan di pentas asia menjadi kenyataan apabila berjaya menewaskan Lion City Sailors dalam aksi di Stadium Thammasat sebentar tadi.
Perlawanan dimulakan dengan menyaksikan Bangkok United mula mengasak kubu Lion City Sailors di awal permaianan.
Peluang terbaik Bangkok United hadir pada minit ke-14 melalui rembatan leret Willen Mota namun berjaya ditangkap kemas Zharfan Rohaizad di gawang Lion City.
Bangkok United mempamerkan penguasaan bola yang luar biasa dengan serangan bertali arus turt dilancarkan bagi mencari gol pendahuluan namun tiada jaringan dapat dihasilkan pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Bangkok United meneruskan rentak penguasaan bola serta memberikan tekanan hebat kepada barisan pertahanan Lion City yang diketuai Hariss Harun.
Ketangkasan Zharfan Rohaizad juga memainkan peranan yang penting dalam mengekang serangan bertubi-tubi dari pemain-pemain Bangkok United.
Gol yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba pada minit ke-86 perlawanan melalui satu sepakan percuma Rungrath Poomchantuek. Sepakan percuma tersebut nyata telah membuatkan Zharfan mati langkah sekali gus mengubah kedudukan menjadi 1-0 memihak Bangkok United.
Tersentak dengan gol itu, Lion City cuba menggandakan asakan mereka. Namun segalanya sudah terlambat untuk menafikan kemenangan Bangkok United.
Dengan kemenangan itu, Bangkok United semakin gah di puncak Kumpulan F dengan mengumpul 13 mata sekali gus mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara AFC. Manakala Lion City berada di tangga ke-3 dan masih mempunyai peluang ke pusingan 16 terakhir.